fb fb fb fb fb

Slam & Exists bakal gegar Mega Star Arena, konsert epik “Our Journey” Julai ini

Konsert “Slam X Exists – Our Journey” dijadualkan berlangsung di Mega Star Arena, Kuala Lumpur pada 26 Julai 2025

KUALA LUMPUR, 4 Mei- Dua kumpulan legenda muzik tanah air, Slam dan Exists, bakal bergabung tenaga dalam sebuah konsert berskala besar bertajuk “Slam X Exists – Our Journey” yang dijadualkan berlangsung di Mega Star Arena, Kuala Lumpur pada 26 Julai 2025.

Konsert anjuran SS Karya Venture dan Republic Mokhmah Records itu bukan sekadar persembahan biasa, tetapi disusun rapi sebagai sebuah penceritaan perjalanan seni penuh warna-warni yang telah ditempuhi kedua-dua kumpulan ini lebih dua dekad lalu.

Menurut pengasas SS Karya Venture, Shah Nizam Abdul Halim, pemilihan tajuk “Our Journey” cukup bermakna kerana ia bukan sahaja melambangkan perjuangan seni, malah persahabatan dan evolusi muzik Slam dan Exists sejak awal penubuhan mereka.

“Impian saya untuk menyatukan Slam dan Exists ni dah lama sebenarnya. Memang dari dulu serius nak buat dan akhirnya tercapai," katanya.

“Kami sangat teruja dan gembira dapat jayakan konsert ini. Harapnya Exists dan Slam sama-sama beri kerjasama terbaik," kata Zamani.

Ajai pula menyifatkan projek tersebut sebagai satu penghormatan besar buat Exists.

“Gabungan ini memang luar biasa. Saya rasa peluang ini satu penghormatan untuk Exists dapat bersama Slam atas satu pentas.”

Kedua-dua kumpulan dijangka menghidupkan nostalgia dengan deretan lagu-lagu ikonik seperti Rindiani, Gerimis Mengundang, Jesnita, Julia dan banyak lagi yang pasti menggamit memori peminat setia mereka.

Paling dinantikan, sudah tentu momen penyatuan dua vokalis utama, Zamani dan Ezad, yang bakal menjadi highlight konsert dan satu detik bersejarah dalam industri muzik tanah air.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE