DAMANSARA, 4 Mei– Arena baharu yang lebih kondusif untuk acara berskala besar kini dibuka dengan pelancaran Idea Live Arena, sebuah lokasi dalam pusat beli-belah yang mampu memuatkan sehingga 7,000 tetamu. Kapasiti itu menjadikannya panggung tertutup kedua terbesar di Malaysia selepas Axiata Arena, Bukit Jalil.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Datuk Azmir Saifuddin Mutalib berkata, projek tersebut dilaksanakan menerusi Concert and Event in Malaysia Incentives (CEMI), iaitu insentif berbentuk rebat kewangan sebagai usaha kerajaan menyokong pertumbuhan industri acara dan konsert di Malaysia.
“Kita sangat mengalu-alukan fasiliti seperti ini, bukan sahaja untuk hiburan tetapi juga pendidikan. Malaysia berpotensi besar menjadi hab perniagaan hiburan serantau,” katanya pada majlis pelancaran Idea Live Arena di Damansara, Selangor.
Datuk Azmir turut menambah, inisiatif CEMI yang diumumkan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil baru-baru ini dijangka menarik lebih banyak acara berskala besar ke Malaysia sambil membantu artis tempatan memperkukuh kedudukan mereka melalui penganjuran konsert dalam negara.
Panggung moden itu dibangunkan menerusi pelaburan RM40 juta, membabitkan naik taraf struktur, pengubahsuaian dan pemasangan sistem teknikal tercanggih.
Antara kemudahan eksklusif yang disediakan termasuk kelengkapan audio, pencahayaan dan visual bertaraf dunia, ruang legar yang luas serta bilik persalinan artis yang serba lengkap.
Menurut Datuk Azmir, sambutan terhadap Idea Live Arena setakat ini sangat memberangsangkan dengan tempahan awal yang sudah mula diterima daripada penganjur acara.
Majlis pelancaran telah disempurnakan oleh Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Biro Konvensyen dan Pameran Malaysia (MyCEB), Tan Mei Phing. Acara turut diserikan dengan persembahan khas Datuk Sheila Majid yang mendendangkan lagu-lagu ikonik seperti Warna, Legenda dan Sinaran, memperlihatkan sendiri keunggulan sistem akustik dan visual arena berkenaan.