fb fb fb fb fb

M Nasir tetap memukau meski 40 tahun dalam industri

KUALA LUMPUR, 28 Mei - Berkecimpung melebihi 40 tahun dalam industri seni tanah air, ternyata sifu muzik, Datuk M Nasir, 64, masih berbisa dengan bakatnya yang luar biasa.

Mana tidaknya, kemunculan figura itu memukau peminatnya yang tersendiri ketika membuat persembahan pada Konsert Satu Hari Di Hari Raya di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini semalam.

Keghairahan M Nasir atau nama sebenar, Mohamad Nasir Mohamed mendendangkan hampir 20 buah lagu pada malam itu, menghiburkan lebih 500 orang peminatnya setelah hampir bertahun-tahun tidak tampil dengan konsert.


(Datuk M Nasir mendendangkan hampir 20 buah lagu  pada Konsert Satu Hari Di Hari Raya
di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL))

Persembahan cukup 'intim' selama 2 jam itu dimulakan dengan lagu Halaman Asmara dan M Nasir kelihatan mulai selesa selepas menyanyikan lagu kelima, Hijab Kekasih.

Terus menjerat memori penonton menerusi rangkaian lagu medley Sentuhan Kecundang, Sampai Hati, Sekuntum Mawar Merah dan Sahabat Gua sebelum terbuai dengan lagu terakhir, Sentuhan Listrikmu.

Meskipun konsert berlangsung dalam dewan tertutup dan berkonsepkan makan malam, ternyata peminatnya turut terhibur menyanyi dan menari bersama M Nasir.

Konsert tersebut diadakan bagi membantu penggiat seni melalui kerjasama Konsortium Industri Rakaman Muzik Malaysia (IRAMA).

Sebahagian hasil kutipan Konsert Satu Hari Di Hari Raya itu akan diagihkan kepada penggiat seni yang kurang bernasib baik, termasuk mereka yang terkesan impak penularan pandemik COVID-19.

Media Baharu