KUALA LUMPUR, 24 September - Ratu jazz negara, Datuk Sheila Majid mencipta sejarah sebagai artis Malaysia pertama memiliki kesemua album dalam format vinyl.
Pelancaran eksklusif lapan album beliau dalam edisi terhad itu dianjurkan oleh Universal Music Malaysia bersama PMP Entertainment, bersempena meraikan ulang tahun ke-40 Sheila Majid dalam industri muzik.
Menurut Pengarah Kanan A&R dan Pengurusan Artis Universal Music Malaysia, Hermond Cheng, pelancaran koleksi vinyl ini bukan sekadar bersempena Konsert Sheila Majid 40 Years in Music pada 8 November, tetapi juga sebagai penghargaan kepada perjalanan seni beliau.
Katanya, ramai peminat sering menantikan album Sheila Majid dalam format vinyl, dan edisi ini diharap dapat mengimbau nostalgia peminat yang membesar dengan lagu-lagu beliau.
Pelancaran ini turut mencatat sejarah kerana buat pertama kali semua album Sheila Majid dikeluarkan dalam format vinyl, dengan hanya 300 set ditawarkan kepada peminat.
Pratempahan dibuka mulai 23 September 2025 pada harga istimewa RM1,499, manakala harga biasa selepas itu RM1,599. Vinyl edisi terhad ini akan dilancarkan secara rasmi pada 5 Oktober 2025.
Projek ini turut melibatkan kerjasama antara EMI Music / Universal Music, Warner Music Malaysia dan Magada Entertainment Sdn Bhd.
Antara album yang dimuatkan ialah Dimensi Baru, Emosi, Warna, Legenda, Ratu, Ku Mohon, Cinta Kita dan Boneka.