KUALA LUMPUR, 24 September - Penyanyi dan penulis lagu hip hop tanah air, Cat Farish kembali dengan wajah baharu melalui alter ego yang dinamakan Si Penghulu.
Di bawah persona ini, beliau melancarkan single sulung berjudul Jandanyer Yeah Yeah, sebuah karya unik yang menggabungkan elemen hip hop, afrobeat serta identiti bahasa dan budaya rakyat Perak.
Lagu ini dihasilkan bersama Illegal dan dirakam di Platinum Studio, Damansara Perdana, dengan terbitan serta edaran oleh Luncai Emas Sdn Bhd. Hak cipta lagu dan lirik turut didaftarkan di bawah syarikat berkenaan.
Menurut Cat Farish, lagu Jandanyer Yeah Yeah membawa mesej penghargaan kepada wanita bergelar janda yang bangkit dengan penuh keyakinan selepas melalui perpisahan.
Watak Si Penghulu mula diperkenalkan ketika sesi kolaborasi lagu OK ciptaan Malique, sebelum dikembangkan menjadi ruang kreatif untuk Cat Farish menyalurkan karya hip hop berunsur loghat Perak dan budaya tempatan.
Lagu ini turut mendapat sokongan penuh isterinya, Shikin Maembong, yang menjadi sumber inspirasi dalam perjalanan kreatif Cat Farish.
Walaupun proses rakaman hanya selesai baru-baru ini, idea dan konsep lagu ini telah dibangunkan sejak dua tahun lalu.
Dengan pelancaran ini, Si Penghulu dijangka membuka lembaran baharu untuk genre hip hop rakyat urban dalam industri muzik tempatan. Single Jandanyer Yeah Yeah boleh didengarkan di semua platform digital rasmi sejak 22 Ogos 2025.