fb fb fb fb fb

Liyana Jasmay kembali dengan balada pop melankolik berjudul Terluka

Liyana Jasmay kembali dengan single balada pop melankolik terbaharu berjudul Terluka, yang sarat emosi dan penuh makna.

KUALA LUMPUR, 23 September - Liyana Jasmay kembali ke persada muzik tanah air dengan pelancaran single terbaharu berjudul Terluka.

Lagu bergenre balada pop melankolik itu hadir dengan susunan muzik sederhana berlatarkan alunan piano, sekali gus menonjolkan vokal penuh emosi Liyana.

Terluka mengisahkan kehancuran sebuah hubungan apabila kesetiaan cinta tidak dihargai, di samping menggambarkan pengorbanan dan kekecewaan mendalam apabila insan tersayang memilih orang lain. Namun, di sebalik kepedihan, masih tersimpan harapan agar cinta lama kembali berputik.

Menurut Liyana, lagu ini dihasilkan khusus buat wanita yang melalui fasa kesedihan dalam hidup, sebagai penguat semangat agar terus tabah menghadapi cabaran.

Beliau menjelaskan, Terluka membawa mood cinta yang penuh galau tetapi dalam masa sama menyalurkan rasa santai dan relaks untuk didengar.

Liyana turut menekankan mesej utama lagu itu iaitu menerima kesedihan sebagai sebahagian daripada hidup, kerana setiap wanita mempunyai kekuatan untuk bangkit selepas dikhianati atau disakiti.

Kemunculan semula Liyana Jasmay dengan Terluka pasti menjadi penawar rindu buat peminat yang membesar dengan karya seninya.

NUR SHARIDA SHAHABUDDIN