fb fb fb fb fb

Konsert Lagenda Nada Murni hidupkan semula fenomena nasyid 80-an

Hijjaz dan Rabbani kembali bersatu di bawah nama Nada Murni menerusi Konsert Lagenda Nada Murni, sekali gus menghidupkan semula fenomena nasyid era 80-an.

KUALA LUMPUR, 23 September - Selepas lebih tiga dekad membawa haluan masing-masing, kumpulan nasyid legenda Nada Murni kembali bersatu dalam sebuah persembahan istimewa, Konsert Lagenda Nada Murni.

Konsert anjuran Karri Talk Production dan Westzone Entertainment itu akan berlangsung pada 7 Disember depan di Idea Live Arena, Petaling Jaya.

Buat pertama kali selepas 35 tahun, ahli asal Nada Murni yang kini bergerak di bawah kumpulan Hijjaz dan Rabbani akan bergabung di pentas sama. Persembahan ini dijangka mengimbau nostalgia era kegemilangan nasyid 80-an dengan lagu-lagu malar segar seperti Di Pondok Kecil, Di Sini Kami Berkumpul dan Tanpa Agama.

Selain itu, penonton juga bakal disajikan persembahan eksklusif daripada artis jemputan Saujana, Akhil Hai dan Pak Dinie Juri yang tampil dengan segmen khas.

Ahli Rabbani, Azadan Abdul Aziz, berkata konsert ini akan mengetengahkan persembahan pelbagai bentuk termasuk tarian munajat, pantomim pertarungan antara hati dan nafsu serta sajak Sakaratul Maut oleh Pak Dinie Juri.

Konsert ini juga akan dimulakan dengan sajak khas bertajuk Kelahiran sebagai pembuka tirai.

Sementara itu, ahli Hijjaz, Munif Ahmad, menjelaskan pemilihan lagu dibuat dengan teliti bagi memastikan ia relevan dengan cita rasa masa kini sambil mengekalkan kekuatan karya asal Nada Murni.

Turut berkongsi harapan, Isman Nadim menyatakan konsert ini menjadi hadiah terbesar selepas 35 tahun untuk semua peminat yang sentiasa merindui Nada Murni.

NUR SHARIDA SHAHABUDDIN