fb fb fb fb fb

Saksikan akhir Bintang Klasik 2025, Sabtu ini!

Enam peserta akhir Bintang Klasik 2025 (dari kiri) Ikmal, Hakimi, Saiful, Syaimaa, Ranisha dan Azmirul/RTM

KUALA LUMPUR, 24 September- Radio Televisyen Malaysia (RTM) sekali lagi bakal memukau penonton menerusi Kemuncak Bintang Klasik 2025, malam kemuncak pertandingan dwitahunan yang menonjolkan bakat muda dalam nyanyian lagu-lagu klasik dan malar segar tanah air.

Bertemakan "Malam Irama Seribu Bintang" dengan konsep pakaian Classic Red & Gold, siaran langsung bakal disiarkan pada 27 September (Sabtu) pukul 9.00 malam melalui TV2, Radio KLASIK, dan RTMKlik.

Enam peserta yang berentap mencari gelaran juara ialah Sitara Saiful, Sitara Syaimaa, Sitara Azmirul, Sitara Hakimi, Sitara Ikmal, dan Sitara Ranisha.

Mereka bakal mempamerkan kehebatan vokal masing-masing menerusi lagu-lagu klasik era 70-an dan 80-an.

Malam kemuncak turut dimeriahkan dengan persembahan istimewa artis tersohor seperti Liza Aziz, Ramlah Ram, J. Sham, serta kugiran popular, Masdo, menjanjikan pengalaman hiburan penuh warna-warni.

Edisi 2023 membuktikan sambutan hangat penonton dengan 2.21 juta tontonan, menunjukkan sokongan padu masyarakat terhadap usaha RTM dalam memelihara dan mengangkat martabat muzik klasik tanah air.

Saksikan siapa bakal dinobatkan sebagai juara Bintang Klasik 2025 dalam Malam Irama Seribu Bintang, malam kemuncak yang penuh gemilang dan menampilkan keindahan warisan muzik tanah air.

SITI AISHAH BINTI MD ISA