fb fb fb fb fb

Sharnaaz bebas tuduhan pukul pengawal keselamatan

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 17 November- Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini melepas dan membebaskan pelakon, Sharnaaz Ahmad daripada pertuduhan mencederakan seorang pengawal keselamatan di sebuah kondominium, tahun lalu.

Majistret, Atiqah Mohamed membuat keputusan itu selepas mendengar hujahan peguam yang mewakili Sharnaaz, iaitu Datuk Wan Azmir Wan Majid dan Timbalan Pendakwa Raya, Nadia Eleena Jamaluddin Akbal.

Setelah mendengar hujahan, mahkamah berpuas hati dan memerintahkan Sharnaaz selaku Orang Kena Saman (OKS) untuk dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan.

Wang jaminan sebanyak RM2,000 juga dikembalikan kepada OKS.

Nadia Eleena berkata beliau mendapat arahan dari Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk kes berkenaan dilepas tanpa dibebaskan (DNAA).

Bagaimanapun, Wan Azmir berkata pihaknya memohon anak guamnya dilepas dan dibebaskan dan bukannya dilepas tanpa dibebaskan kerana pengadu sendiri telah menarik balik kes.

Malah, satu laporan polis telah dibuat oleh pengadu berhubung penarikan balik kes tersebut.

Pada 18 Jan lalu, Sharnaaz atau nama sebenarnya Sharnaaz Ahmad Bazir Ahmad, 38 tahun mengaku tidak bersalah atas dakwaan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Izzul Islam Awang, 27 tahun.

Kejadian itu dikatakan berlaku di kawasan lif, pintu masuk sebuah blok di sebuah kondominium di Jalan Dutamas, Kuala Lumpur pada pukul 8.30 malam, 16 Jun 2022.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM