fb fb fb fb fb

Seoul dilimpahi warna ungu, rai ulang tahun BTS ke-10

(Phoebe Li (kiri) dan anaknya Bella Li (kanan) yang merupakan peminat BTS
dari Amerika Syarikat/AFP)

SEOUL, 13 Jun- Mercu tanda utama di ibu negara Seoul, Korea Selatan pada Isnin bercahayakan warna ungu sempena meraikan ulang tahun ke-10 kumpulan K-pop lelaki popular, BTS yang memulakan kerjaya pada 13 Jun 2013.

Selain itu, beberapa struktur di sini termasuk jambatan, menara dan dewan bandar turut diterangi dengan warna ungu.

Difahamkan, warna terbabit dikaitkan dengan BTS oleh para peminatnya yang digelar sebagai 'warna BTS'.

Sementara itu, anak beranak yang merupakan peminat BTS dari Amerika Syarikat, Phoebe Li, 47, dan anaknya Bella Li, 17, mengakui mereka sememangnya merancang percutian ke Korea Selatan pada tarikh ulang tahun kumpulan terbabit.

"Ia benar-benar mengujakan. Kami menantikan ini untuk sekian lama. Saya baru mula mendengar muzik mereka (BTS) dan saya sangat menikmatinya. Saya gembira dia (anak) menikmatinya kerana ini adalah sesuatu yang kami benar-benar berkongsi bersama.

"Apabila kami merancang perjalanan kami ke Korea Selatan, kami merancangnya sekitar ulang tahun ke-10 BTS dan berharap dapat merakam pengalaman berharga," kata Phoebe Li.

"Saya bertuah berada di sini. Saya fikir ia agak hebat bagaimana mereka (BTS) dapat mengatasi 'sumpahan tujuh tahun'. Saya gembira dapat menjadi sebahagian daripada perjalanan 10 tahun mereka," kata Bella Li pula.

Bagi peminat K-Pop, istilah 'sumpahan tujuh tahun' tidak asing yang merujuk kepada pembubaran sesebuah kumpulan selepas tujuh tahun dalam dunia hiburan.

Kebanyakkannya ia sering dikaitkan dengan kumpulan K-pop dalam kalangan gadis seperti 2NE1, 4Minute dan Sistar yang dibubarkan selepas tujuh tahun bersama.

Dalam kes berkaitan, Jessica juga telah meninggalkan Girl Generation pada tahun ketujuh, serta Sunye dan Sohee telah berpisah dengan Wonder Girls. -AFP

(Seoul dilimpahi warna ungu, warna yang dikaitkan dengan BTS/AFP)

Media Baharu