fb fb fb fb fb

Janna Nick, Dini kini sah suami isteri

(FOTO FB Amir Naufal Photography)

LANGKAWI, 10 Jun- Segala teka-teki terjawab apabila pasangan pelakon terkenal, Janna Nick, dan Dini Schatzmann selamat bergelar suami isteri dalam sebuah majlis tertutup yang berlangsung di Masjid Aisyah di sini pagi tadi.

Dengan sekali lafaz, pasangan sejoli itu dinikahkan oleh bapa Janna sendiri, Muner Abdullah bersaksikan Pengerusi Masjid Aisyah, Othman Yahya serta sepupu pengantin perempuan, Amir Fikri dan Amar Fikri.

Pada majlis pernikahan tersebut, Dini turut menyerahkan mas kahwin RM2,703 kepada Janna dan seutas rantai emas.

Jumlah mas kahwin tersebut dipilih sebagai simbolik kepada tarikh perkenalan mereka iaitu pada 27 Mac 2019.

Mengucapkan rasa syukur ke hadrat Ilahi, Dini atau nama penuhnya Dini Azan Schatzmann, 29, teruja untuk memulakan kehidupan baharu sebagai seorang suami dan mengharapkan agar setiap langkah mereka melayari bahtera perkahwinan diberkati.

“Alhamdulillah, rasa terpaling bahagia dan lega apabila majlis pernikahan ini sudah selesai dan berjalan lancar. Maka bermulalah perjalanan baharu kami sebagai suami isteri,” katanya.

Dia berkata, majlis yang lebih tertutup dipilih kerana mahukan sesuatu yang privasi bersama keluarga dan teman rapat.

Dini berkata, mereka memilih lokasi Koh Lipe, Thailand sebagai lokasi bulan madu.

“Kami tidak sempat untuk merancang berbulan madu di destinasi lebih jauh kerana penggambaran drama sudah bermula.

“Tetapi kesempatan bercuti ini kami tetap bercuti bersama di Koh Lipe. Ini adalah destinasi bulan madu pertama kami,” ujarnya.


(Pasangan dinikahkan  bapa Janna sendiri, Muner Abdullah bersaksikan Pengerusi Masjid Aisyah, Othman Yahya
serta sepupu pengantin perempuan, Amir Fikri dan Amar Fikri/ FOTO: Janna Nick)

Janna turut berkongsi perasaan gementar dan risau untuk melangkah ke alam perkahwinan.

“Ini adalah satu fasa dan langkah terbesar sepanjang 28 tahun usia saya. Mengubah status daripada solo kepada isteri dan insya-Allah, seorang ibu.

“Saya juga mahukan satu majlis yang lebih dekat dengan saya sebagai Nurul Jannah. Meraikan fasa baharu saya bersama keluarga tercinta dan rakan-rakan,” ujarnya.

Bercakap tentang kerjaya seni dan soal perancangan zuriat, Janna berkata, mereka bakal meneruskan kerjaya seni dan bersedia sekiranya dikurniakan rezeki untuk menimang cahaya mata.


(Majlis pernikahan mendapat sentuhan rekaan The Calla dihadiri ahli keluarga, rakan selebriti
dan sahabat karib pasangan pengantin tersebut/ FOTO: Janna Nick)

Antara rakan artis yang hadir ke majlis tersebut adalah Izzue Islam, Nora Danish, Ain Edruce, Puteri Sarah Liyana, Nadia Brian, Mawar Rashid, Dayah Bakar dan ramai lagi.

Sementara itu, majlis resepsi pasangan tersebut bakal diadakan di sebuah resort terkemuka di Langkawi.

Pada sekitar Februari lalu, Dini memaklumkan bakal mengumumkan satu berita besar berkaitan hal peribadi yang turut berkait rapat dengan Janna dalam masa terdekat.

Malah sebelum ini juga terdapat khabar angin mendakwa pasangan itu bakal bernikah di Langkawi pada 10 Jun dan memilih resort mewah di Pantai Cenang, Langkawi sebagai lokasi hari bahagia mereka.

Media Baharu