fb fb fb fb fb

Syamsul Yusof ceraikan Puteri Sarah talak satu kali kedua

(Syamsul Yusof dan Puteri Sarah Liyana sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah
Syariah Wilayah Persekutuan hari ini/BERNAMA)

KUALA LUMPUR, 14 Jun- Kemelut rumah tangga yang melanda pengarah filem Syamsul Yusof dan isteri pertamanya yang juga pelakon Puteri Sarah berakhir apabila mereka sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan di sini, hari ini.

Syamsul, 39, atau nama sebenarnya Mohd Shamsul Md Yusof melafazkan cerai talak satu terhadap Puteri Sarah, 38, atau Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin di hadapan Hakim Syarie Akmalluddin Ilyas selepas mahkamah membenarkan permohonan cerai yang difailkan wanita itu.

“Mahkamah membenarkan permohonan penceraian ini. Mahkamah mensabitkan berlaku penceraian talak satu kali kedua mulai hari ini pada 12.23 tengah hari.

“Mahkamah memerintahkan plaintif (Puteri Sarah) menjalani tempoh edah selama tiga kali suci,” kata Akmalluddin.

Puteri Sarah memfailkan permohonan cerai terhadap Syamsul pada 16 Jan lepas atas alasan mereka tidak ada persefahaman dan berlaku shiqaq berpanjangan serta tidak lagi dapat hidup bersama sebagai suami isteri mengikut hukum syarak.

Akmalluddin berkata atas persetujuan pihak-pihak, mahkamah merekodkan defendan (Syamsul) membayar nafkah bulanan RM6,000 kepada dua anaknya.

“Mahkamah juga merekodkan defendan membayar nafkah tahunan kepada dua anak mereka antaranya insurans RM3,500 untuk seorang serta percutian RM5,000 untuk seorang. Selain itu, mahkamah merekodkan defendan membayar nafkah edah RM15,000 dalam tempoh edah kepada plaintif (Puteri Sarah)," katanya.

Sebelum Syamsul melafazkan cerai, peguamnya Azmi Mohd Rais mencadangkan agar pasangan itu bersalaman bagi memohon kemaafan.

Puteri Sarah yang memakai baju kurung moden kemudian mencium tangan Syamsul di hadapan Akmalluddin dengan disaksikan rakan-rakan mereka yang berada di galeri awam.

Terdahulu, peguam Syarie Datuk Akberdin Abdul Kader mewakili Puteri Sarah berkata anak guamnya telah memfailkan penceraian kerana tiada persefahaman dan keputusan Jawatankuasa Pendamai mendapati berlaku shiqaq atau perbalahan yang berpanjangan.

“Saya dengan rendah diri mohon agar mahkamah membenarkan permohonan cerai dan minta defendan melafazkan cerai. Anak guam saya hari ini berada dalam keadaan suci dan ini adalah talak satu kali kedua. Defendan lafazkan talak satu kali pertama pada 9 Mei 2015 dan mereka rujuk semula pada 15 Mei tahun sama,” kata Akberdin.

Azmi kemudian mengesahkan perkara tersebut selain memaklumkan anak guamnya bersetuju untuk melafazkan cerai.

“Anak guam saya setuju dengan terma yang dipersetujui berkenaan nafkah anak dan nafkah edah,” katanya.

Sementara itu, Syamsul ketika ditemui pemberita berkata beliau bersyukur kerana proses penceraian hari ini berjalan lancar seperti yang mereka bincangkan sebelum ini.

“Ini demi masa depan dan kebaikan anak-anak.  Jika kami terus memikirkan tentang diri kami sahaja, akhirnya akan memberikan kesan kepada anak-anak. 

“Ini adalah pengakhiran yang baik untuk hubungan kami. Walaupun kami sudah berpisah, kami tidak berdendam lagi,” katanya yang akan terus bersahabat dengan bekas isterinya itu.

Puteri Sarah pula berkata beliau lega kerana semuanya selesai dengan cara baik dan berharap tiada lagi persengketaan antara mereka.

Pasangan itu yang berkahwin pada 8 Mac 2014 dikurniakan dua anak, Shaikul Islam, 6, dan Sumayyah, 4. -BERNAMA

(Syamsul Yusof (kanan) dan Puteri Sarah Liyana (kiri) diperkarangan Mahkamah Rendah
Syariah Wilayah Persekutuan hari ini/BERNAMA)

Media Baharu