BANGI, 10 November- Solidariti Malaysia terhadap Palestin kekal konsisten demi memperjuang nasib rakyatnya sekali gus mengecam kekejaman rejim Zionis.
Kali ini, penggiat seni tanah air mengambil bahagian menyokong perjuangan itu menerusi penganjuran 'Himpunan Artis dan Seniman Malaysia Membela Palestin'.
Himpunan berkenaan dijadual berlangsung pada 2 Disember depan di Shah Alam.
Presiden MAPIM, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata dana yang dikumpul bertujuan menyalurkan bantuan berbentuk makanan dan ubat-ubatan ke Palestin.
"Kehadiran para artis dan seniman negara dalam perhimpunan tersebut akan memberi mesej yang kuat kepada masyarakat dalam negara dan juga selebriti dan seniman antarabangsa untuk menyatakan sikap dan pendirian tegas membantah kezaliman Israel terhadap rakyat Palestin.
Perhimpunan ini juga adalah inisiatif untuk mengumpul dana bagi membantu mangsa serangan Israel yang paling biadab dan kejam keatas Gaza dan Tebing Barat Palestin yang
terkini," kata Mohd Azmi kepada pemberita dalam sidang media, di sini.
Dalam pada itu, selebriti, Erma Fatimah turut mengajak rakan selebriti untuk turut sama terlibat demi menyampaikan mesej dan pendirian tegas membantah kezaliman Israel terhadap rakyat Palestin.
"Kita tidak boleh duduk diam, hanya jadi penonton. Seramai yang mungkin yang akan kita kumpulkan, bukan selebriti kita sahaja, malah kita kumpulkan para ulama untuk bersama dalam perjuangan ini," kata Erma kepada pemberita.
Program anjuran bersama Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) itu turut mensasarkan dana sebanyak RM1 juta.