fb fb fb fb fb

Samsons janji persembahan imersif dalam konsert ‘Kenangan Terindah’

Pemain gitar utama, Irfan Aulia Irsal (kiri) ditemu bual RTM dalam satu sidang media berhubung konsert ‘Kenangan Terindah’

KUALA LUMPUR, 11 September - Kumpulan legenda Indonesia, Samsons, bakal kembali menghiburkan peminat Malaysia menerusi konsert berskala antarabangsa “Samsons Live in Malaysia – Kenangan Terindah” pada 9 November, di Petaling Jaya.

Lebih dua dekad mewarnai industri muzik dengan lima album berjaya, Samsons dikenali melalui lagu malar segar seperti Kenangan Terindah, Naluri Lelaki, Akhir Rasa Ini dan Kisah Tak Sempurna.

Konsert kali ini juga menjadi sebahagian daripada sambutan Tahun Melawat Selangor 2025 dan persiapan Tahun Melawat Malaysia 2026, sekali gus menonjolkan peranan Malaysia sebagai tuan rumah seni, budaya dan hiburan bertaraf dunia.

Pemain gitar utama, Irfan Aulia Irsal, berkata muzik adalah bahasa sejagat yang mampu menyatukan semua, selain menjadi sebahagian daripada ekonomi kreatif yang berkait rapat dengan sektor pelancongan.

“Muzik boleh menghapuskan jurang antara negara kerana akhirnya kita hanya bertutur dalam satu bahasa, iaitu muzik. Jika Malaysia berjaya menyampaikan inisiatif ini, lebih banyak muzik, artis dan budaya dapat dikongsi bersama,” katanya.

Menurut Irfan lagi, konsert kali ini bakal tampil berbeza dengan sentuhan konsep imersif berinspirasikan lima elemen alam iaitu angin, bumi, api, air dan logam serta satu elemen istimewa iaitu kasih sayang dan perpaduan. Keenam-enam elemen ini akan digabungkan dengan muzik, visual dan pencahayaan bagi mencipta persembahan penuh emosi.

“Persembahan kali ini membawa konsep yang belum pernah kami lakukan, malah mungkin yang pertama seumpamanya di dunia. Kami sangat teruja dan berharap penonton turut merasainya. Jadi, jangan lepaskan peluang untuk hadir ke konsert ini,” ujarnya menutup bicara.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE