fb fb fb fb fb

Samsol tampil solo dengan single pertama “BORAK”

Samsol tampil solo dengan single pertama “BORAK”

KUALA LUMPUR, 13 Julai – Vokalis utama kumpulan pop punk popular Bunkface, Sam, kini memulakan langkah baharu dalam dunia muzik sebagai artis solo dengan nama pentas Samsol menerusi pelancaran single sulung berjudul “BORAK”.

Lagu itu sudah boleh didengari di semua platform penstriman digital dan menyajikan melodi pop segar serta catchy, disulam dengan mesej bermakna mengenai komunikasi jujur dan terbuka dalam perhubungan, khususnya dalam kalangan pasangan suami isteri atau kekasih.

Menurut Samsol, lagu tersebut diinspirasikan daripada keperluan untuk terus berkomunikasi secara ikhlas dalam hubungan yang sudah lama terjalin.

“Saya tulis BORAK sebab saya rasa sangat penting untuk pasangan, terutama yang sudah lama bersama, untuk terus bercakap secara jujur dan terbuka,” katanya.

Tambah beliau, “Kadang-kadang, borak yang paling simple pun boleh buat hubungan terus kuat.”

Walaupun peminat sudah mengenali suara dan persembahannya bersama Bunkface, “BORAK” mengetengahkan sisi lebih peribadi dan emosional Samsol, menyentuh tema cinta, komunikasi dan realiti rumah tangga.

Langkah solo itu dijangka membuka lembaran baharu buat Samsol, dengan pendekatan muzik yang lebih matang serta penceritaan yang lebih jujur dan dekat di hati pendengar.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE