fb fb fb fb fb

Insomniacks cipta magis di konsert sulung "Echoes of a Dream"

Insomniacks mempersembahkan 21 lagu pada konsert "Echoes of a Dream"

KUALA LUMPUR, 13 Julai – Lebih 2,400 peminat band pop alternatif popular, Insomniacks, dibawa menyelusuri emosi dan nostalgia menerusi konsert sulung mereka, Echoes of a Dream yang berlangsung penuh bertenaga di Zepp Kuala Lumpur, malam tadi.

Konsert berdurasi lebih dua jam itu dibahagikan kepada empat segmen bertema, membuka tirai dengan lagu-lagu bertenaga seperti Anti Hero, Kepala Batu, Cerita Kita, Langgar dan Selalu, yang berjaya membakar semangat penonton sejak awal.

Segmen kedua menyentuh sisi lebih emosional dan kolaboratif, antaranya menerusi lagu Reminisensi, Temani Hati dan Some Days Are Just Better. Momen istimewa tercipta apabila Insomniacks berduet bersama penyanyi Indonesia, Nabila Taqiyyah, menerusi lagu Belum Mulai.

Segmen ketiga membawa penonton ke alam dunia mimpi dan realiti, dengan lagu seperti Here Again, Awake and Dreaming, Overdrive dan Di Mana. Sorakan gemuruh juga mengiringi nyanyian semula lagu hit Sufian Suhaimi, Terakhir.

Menjelang segmen penutup, suasana bertukar sentimental dengan lagu-lagu seperti Sayang Cinta, Amnesia, Sempurna, Teman dan Pulang. Sebagai kemuncak, band itu kembali ke pentas untuk persembahan encore lagu hit Igauan Malam yang dinyanyikan beramai-ramai bersama ribuan peminat.

Sebanyak 21 lagu dipersembahkan, selain pelancaran single baharu berjudul Seperti Dulu, sebagai penghargaan buat peminat sempena ulang tahun ke-10 penubuhan kumpulan tersebut.

Menurut vokalis utama, Syed Mir Iqbal (Iqie), sokongan luar biasa daripada peminat menjadi pembakar semangat untuk terus menghasilkan karya berkualiti.

Konsert turut diserikan dengan kehadiran artis jemputan seperti Nabila Razali, Killa Driz dan Arif Kamaruddin.

Sementara itu, Pengarah Urusan SAH Entertainment, Sufi Rashid, menyifatkan kejayaan konsert tersebut sebagai hasil kerja keras dan keserasian pasukan, selain mengumumkan konsert jelajah seterusnya bakal diadakan di Singapura pada 16 Ogos ini, yang turut mencatat tiket ‘sold out’ dalam masa singkat.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE