KUALA LUMPUR, 13 Julai – Peminat muzik, khususnya dalam kalangan generasi muda, bakal disajikan pengalaman penuh emosi dan inspirasi menerusi Ruang Inspirasi Festival (RIF) 2025 yang dijadual berlangsung pada 17 Ogos ini di Mega Star Arena, Kuala Lumpur.
Festival anjuran Expoindo bersama rakan tempatan, Thrive, bukan sekadar sebuah konsert biasa. Ia menggabungkan elemen muzik, penceritaan peribadi dan perkongsian pengalaman artis, menjadikannya satu platform unik dan menyentuh jiwa.
Menurut wakil Expoindo, konsep ‘Ruang Inspirasi’ diwujudkan sebagai ruang yang bukan hanya menghibur, tetapi juga memberi kesan mendalam dan motivasi kepada penonton.
Juicy Luicy, kumpulan pop alternatif popular dari Indonesia, diumumkan sebagai artis utama fasa pertama festival tersebut. Band yang terkenal dengan lagu-lagu hit seperti Lantas, Lampu Kuning dan Sialan itu sememangnya mempunyai pengaruh kuat dalam kalangan peminat Malaysia.
“Juicy Luicy antara artis paling digemari generasi muda di Malaysia. Lagu mereka sarat emosi dan dekat dengan pengalaman hidup pendengar. Sebab itu mereka dipilih sebagai tumpuan utama RIF tahun ini,” ujar Bram Tulong, mewakili pihak penganjur.
Pihak RIF turut memaklumkan senarai artis fasa kedua akan diumumkan tidak lama lagi, sekaligus menjadikan festival ini antara gabungan hiburan dan inspirasi pertama seumpamanya di Malaysia.
Menurut kenyataan penganjur, festival ini juga memberi peluang kepada penonton untuk merasai interaksi lebih peribadi dan mendalam bersama artis, berbanding sekadar menonton persembahan dari jauh.
Sementara itu, Johnathon Wong dari BBO Events berharap RIF 2025 menjadi jambatan budaya antara Malaysia dan Indonesia, menerusi penghayatan muzik dan nilai positif yang dibawa oleh artis-artis terlibat.