fb fb fb fb fb

RTM Sarawak lebih santai, lebih dekat dengan pendengar

Ketua Penolong Pengarah Seksyen Radio RTM Sarawak, Marrill Chunggat dalam temubual khas sempena Hari RTM ke-79 di konti Sarawakfm

KUCHING, 10 April – Radio Televisyen Malaysia (RTM) Sarawak akan mempergiatkan pelbagai program berkonsepkan hiburan bagi memastikan siaran radio kekal relevan serta lebih dekat dengan pendengar.

Ketua Penolong Pengarah Seksyen Radio RTM Sarawak, Marrill Chunggat berkata, langkah tersebut seiring dengan usaha RTM untuk menyesuaikan kandungan siarannya dengan perubahan teknologi dan kehendak semasa.

“Kita pun nak war-warkan apa-apa perkembangan terbaru RTM, sebab sekarang ni banyak teknologi digunakan, banyak perubahan.

"Kita nak tengok apa kesan perubahan-perubahan ni, supaya apa yang kita sampaikan bukan setakat terlampau informative sangat tapi kita nak berhibur juga,” katanya dalam program temubual khas sempena Hari RTM ke-79 di konti Sarawakfm, pagi ini.

Menurut beliau, selain memperbanyakkan program hiburan di radio, RTM Sarawak juga sedang giat membuat persiapan untuk penganjuran Showcase Dinamika 79 sempena sambutan Hari RTM ke-79 pada Sabtu ini di Auditorium P. Ramlee.

“Persiapan kini telah mencapai tahap 85 peratus dan program ini dijangka dapat merapatkan hubungan antara warga RTM Sarawak dan para pendengar setia.

"Selain itu, program ini juga menjadi platform persediaan awal bagi penganjuran sambutan ulang tahun RTM ke-80 pada tahun hadapan,” tambahnya.

GRACE AISYAH KEDAYAN