IPOH, 7 April – Jenazah pelakon veteran, Datin Noor Azizah Azizul Hassan, 78, yang meninggal dunia awal pagi tadi akibat sesak nafas, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Paloh, di sini.
Allahyarhamah menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 3 pagi di kediaman keluarganya di Kampung Sungai Rapat, Ipoh, ketika sedang bercuti sempena Hari Raya bersama keluarga.
Anak kandung Allahyarhamah, Khairena Abd Rashid berkata, kejadian sesak nafas bukan pertama kali berlaku, namun kali ini lebih serius.
“Ayah telefon saya lebih kurang pukul satu lebih pagi, kata mak sesak nafas. Sebenarnya bukan pertama kali jadi, sebelum ni pernah jadi juga, jadi saya tahu apa nak buat.
"Tapi bila saya tengok dia kali ni lain macam, tak sedap hati. Saya terus panggil ambulans… tapi masa ambulans sampai, mak dah tak sedar,” katanya ketika ditemui RTM di lokasi pengebumian.
Jenazah seniwati legenda telah dimandi dan dikafankan di kediaman keluarganya sebelum dibawa ke Masjid Paloh untuk disembahyangkan dan seterusnya dikebumikan sebelum Zuhur.
Turut hadir memberi penghormatan terakhir ialah Presiden Yayasan Kebajikan Artis Tanah Air (YKAT), Datuk DJ Dave, selain kenalan rapat serta rakan artis.
“Saya datang untuk beri penghormatan terakhir kepada seniwati hebat yang banyak menyumbang dalam bidang lakonan. Kehilangannya sangat dirasai, bukan sahaja oleh keluarga seni, malah para peminatnya,” ujar beliau.
Allahyarhamah yang menetap di Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur, memulakan kerjaya seninya pada tahun 1965 menerusi filem Dayang Senandung.
Allahyarhamah turut dikenang menerusi filem arahan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, Enam Jahanam pada tahun 1969.