KUALA LUMPUR, 2 Mei- Lagu raya sudah menjadi pelengkap untuk sambutan perayaan.
Ia bagai satu keperluan untuk membangkitkan ‘mood ’ lebih-lebih lagi kepada si perantau.
Tidak menolak lagu malar segar yang terus mendapat tempat, namun peredaran masa turut menuntut pembaharuan terhadap lagu raya yang dekat di hati generasi masa kini.
Sifu industri Muzik, Datuk M. Nasir mengakui untuk menghasilkan single raya bukan sesuatu perkara yang mudah pada masa kini, memandangkan pendengar mempunyai citarasa yang tinggi terhadap genre yang akan dibawa.
"Semua lagu raya yang sedap semua dah di buat macam dah habis modal kita nak cerita apa lagi pasal raya nak buat melodi apa lagi melainkan sekarang kita buat melodi baru, cara baru dan mungkin orang-orang lama yang suka pada lagu lama ini akan marah tak suka.
"Nak kena tahu apa itu raya, nak rasa macam mana apa itu suasana raya tu, macam mana dengan nostalgia dia dengan keramaian dengan keraian dia itu dari segi budaya. Dari segi agama pula ada lagi, jadi dia nak kena gabungkan itu semua.
(Datuk M. Nasir)
Bagi penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, penghasilan lagu raya yang berpotensi untuk menjadi malar segar terletak kepada penciptanya.
"Lagu raya ini bukan setiap masa kita boleh dengar hanya masa bulan-bulan raya sahaja kan dan dia sangat istimewa, sebab itu kalau betul lah lagu-lagu raya ini kena dia punya irama, 'mood' dia sebenarnya 'mood' je raya ini dengan lagu yang senang nak orang menyanyi sama, memang boleh jadi 'evergreen'," katanya.
(Datuk Seri Siti Nurhaliza)
Meskipun begitu, tidak dinafikan masih ada lagu baharu yang mampu memberi kesan mendalam kepada masyarakat dengan lirik dan melodinya.
Bagaimanapun, lagu raya malar segar akan terus menjadi siulan dalam membangkitkan semangat dan nostalgia hari raya.
Pelbagai elemen positif yang diterapkan dalam sesebuah lagu itu pasti membuatkan seseorang terbuai ketika mendengarnya.
Tidak kira lagu lama mahupun baharu pasti ia mempunyai nilai tersendiri.