fb fb fb fb fb

Program Big Band Orkestra RTM, bakal 'mendunia'

Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Suhaimi Sulaiman

KUALA LUMPUR, 2 Julai- "Big Band Orkestra RTM" bakal menjadi program terbaharu Radio Televisyen Malaysia (RTM) yang akan dibawa ke persada antarabangsa.

Menurut Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Suhaimi Sulaiman, matlamat program tersebut adalah untuk memartabat Orkestra RTM dan mengetengahkan lagu-lagu Melayu.

"Jadi, ini adalah salah satu program yang boleh kita eksport. Apabila kita hendak mengeksport satu kandungan itu, kita kena menggunakan bahasa mereka tetapi walaupun kita guna bahasa Inggeris, lagu yang kita ketengahkan ada lagu Inggeris dan ada juga lagu bahasa Melayu."

"Jadi, disinilah caranya kita mengetengahkan gubahan dan juga lagu-lagu Melayu. Ada lagu pada zaman P.Ramlee juga," kata Datuk Suhaimi kepada pemberita, hari ini.

Sebanyak enam episod akan disiarkan dan ia dihoskan Ketua Pengarah Penyiaran sendiri.

Program bersiaran selama 1 jam setiap Selasa pukul 9.00 malam, bermula 30 Julai di saluran TV2.

Big Band merupakan program kolaborasi unit hiburan TV RTM bersama bahagian perkhidmatan muzik dengan menampilkan artis hebat tanah air seperti Sean Ghazi, Salamiah Hassan, Dayang Nurfaizah, Aina Abdul dan ramai lagi.

Pemilihan lagu dalam program tersebut dipilih oleh Pengarah Muzik, Datuk Mokhzani Ismail.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM