KUALA LUMPUR, 1 Julai - Peminat muzik negara seberang di Malaysia berpeluang menyaksikan persembahan beberapa artis dari negara tersebut, iaitu Kotak, Ifan Seventeen dan Marcello Tahitoe, yang bakal tampil pada Indonesian Music Festival, 24 Ogos depan.
Penganjur konsert UnUsUaL Entertainment dalam satu kenyataan hari ini, berkata konsert bakal diadakan di Axiata Arena, Bukit Jalil, bermula 7 malam.
“Kotak merupakan sebuah kumpulan muzik rock Indonesia yang ditubuhkan pada 27 Sept 2004. Kumpulan ini popular dengan lagu Pelan-Pelan Saja, Masih Cinta, Tendangan Dari Langit dan Aku Yang Tersakiti, selain pernah memenangi Anugerah Muzik Indonesia ke-12 untuk Kategori Solo/Duo/Kumpulan Rock Terbaik,”menurut kenyataan itu.
Ifan Seventeen pula popular dengan lagu seperti Cinta Jangan Disembunyikan, Akujira, Menunggu Kamu, Jaga Selalu Hatimu, Sumpah Ku Mencintaimu dan Hal Terindah.
Sementara Marcello Tahitoe atau nama pentas sebagai Ello, merupakan vokalis baharu kumpulan Dewa 19, dan popular dengan lagu Gak Kayak Mantanmu, Kisah Kita T'lah Usai, Benci Tapi Rindu, Takkan Ada Aku Lagi dan Sorry Abis.
Tiket dijual pada harga RM488 (VIP), RM388 (CAT 1), RM338 (CAT 2), RM288 (CAT 3) dan RM188 (CAT 4) bermula hari ini dan untuk mendapatkan maklumat lanjut boleh layari di media sosial penganjur.