KUALA LUMPUR, 24 Disember- Setelah hampir 15 tahun tidak menghasilkan sebarang lagu, kini kumpulan muzik indie rock, Pesawat melancarkan single terbaru berjudul Euphoria.
Lagu itu kesinambungan daripada single terdahulu berjudul Mirage.
Menurut vokalis Pesawat, Jipie, lagu Euphoria berkisar tentang perasaan seseorang dalam menyatakan kesyukuran.
"Alhamdulillah kita baharu melancarkan lagu terbaharu berjudul Euphoria dan akan datang akan ada lagi single terbaharu di mana akan berlaku kolaborasi dengan artis lain, jadi sekarang ini Pesawat tengah dalam menyiapkan album baharu. Bila telah siap album baharu ini, tetapi mungkin belum siap kot, single kedua, ketiga itu kita akan buat 'tour' lah. Itu perancangan untuk 2024 dan Pesawat kembali di dalam radar," kata Jipie kepada pemberita di sini.
Pesawat yang dianggotai lima orang anak muda itu bakal mengadakan sesi jelajah bersama peminat di seluruh negara tahun hadapan bagi mempromosikan single terbaharu mereka.
Pesawat turut mencipta sejarah sebagai kumpulan pemuzik pertama melancarkan muzik video di atas pesawat Malaysia Airlines Boeing 777 pada awal tahun 2000.