fb fb fb fb fb

Oscar 2025: Kieran Culkin menang Pelakon Pembantu Terbaik

Kieran Culkin menerima Anugerah Oscar untuk Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik menerusi A Real Pain semasa majlis Anugerah Akademi ke-97 di Hollywood / Foto REUTERS

LOS ANGELES, 3 Mac-Bintang filem A Real Pain, Kieran Culkin, meraih anugerah Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik di Anugerah Akademi (Oscar) pada Ahad, menyaksikan filem Anora, The Brutalist, dan Conclave bersaing untuk trofi Filem Terbaik.

Culkin, yang memulakan kerjaya lakonan sejak kecil, diiktiraf susulan lakonannya sebagai salah seorang daripada dua sepupu yang mengembara ke Poland untuk mengkaji sejarah keluarga mereka.

"Saya tidak tahu bagaimana saya boleh sampai ke tahap ini," kata Culkin di atas pentas Dolby Theatre, Hollywood.

"Saya telah berlakon sepanjang hidup saya, tetapi tidak pernah menyangka ini adalah hala tuju saya", katanya.

Malam anugerah dimulakan dengan persembahan medley bertemakan The Wizard of Oz oleh Ariana Grande dan Cynthia Erivo, termasuk lagu hit Defying Gravity daripada filem mereka, Wicked.

Di karpet merah, bintang seperti Zoe Saldana dan Selena Gomez mencuri perhatian dengan gaun berkilauan, manakala Timothée Chalamet tampil berani dengan tuksedo kuning terang. Penampilan Chalamet turut menjadi bahan jenaka hos malam itu, Conan O’Brien.

Tahun ini, tiada satu filem yang benar-benar mendominasi anugerah, menjadikan persaingan Filem Terbaik lebih terbuka.

Antara calon-calon  utama ialah Anora – Kisah seorang pekerja seks yang berpeluang mengecapi kisah dongeng ala Cinderella,
The Brutalist, kisah perjalanan seorang imigran Yahudi yang mengejar impian sebagai arkitek di Amerika dan Conclave, filem tentang proses rahsia pemilihan seorang paus baharu.

Turut dicalonkan ialah Wicked, filem muzikal blockbuster yang menjadi prekuel kepada The Wizard of Oz, serta A Complete Unknown, biopik Bob Dylan yang dibintangi Chalamet.

Sementara itu, filem muzikal Emilia Perez, yang diterbitkan oleh Netflix, memasuki malam anugerah dengan pencalonan terbanyak. Namun, peluangnya tipis selepas bintang utama, Karla Sofia Gascon, pelakon transgender pertama yang dicalonkan untuk Oscar terpalit dalam kontroversi berikutan ciapan media sosial lama yang menyinggung perasaan.

Gascon tidak menghadiri acara-acara anugerah sebelum ini tetapi tetap muncul di Oscar pada Ahad.


KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD