fb fb fb fb fb

'Nusantara Moden' cabaran Bintang Kecil 2025 Zon Semenanjung

Enam peserta terbaik telah dipilih ke peringkat akhir Bintang Kecil yang dijadual berlangsung di Kuching, Sarawak pada 20 September depan

KUALA LUMPUR, 20 Julai – Program Bintang Kecil 2025 Zon Semenanjung yang berlangsung di Auditorium Perdana, Angkasapuri Kota Media, malam tadi berjaya mencungkil bakat baharu dalam kalangan kanak-kanak berusia 7 hingga 12 tahun, selari dengan tema tahun ini, “Irama Kita, Suara Anak Kita.”

Menurut Penerbit Bintang Kecil Negeri Johor, Syuhada Baqis Juhali, penganjuran edisi ke-27 ini menyaksikan cabaran tersendiri apabila kesemua peserta diwajibkan menyampaikan lagu bertemakan 'Nusantara Moden'.

“Budak-budak sekarang ni kita nak tengok pandai ke tidak menyanyikan lagu-lagu Nusantara moden. Tapi alhamdulillah, semuanya berjalan lancar,” katanya.

Kesemua peserta mempersembahkan lagu pilihan masing-masing dengan iringan Orkestra RTM dan menerima bimbingan vokal daripada Wan Naqiuddin Ismail Hasbi.

Seramai 12 peserta daripada negeri-negeri di zon Semenanjung bersaing dalam segmen persembahan individu dan berkumpulan, diadili oleh barisan juri profesional termasuk penyanyi tersohor Datuk Zainal Abidin dan juara Bintang RTM, Azharina Azhar.

Enam peserta terbaik telah dipilih ke peringkat akhir Bintang Kecil yang dijadual berlangsung di Kuching, Sarawak pada 20 September depan iaitu Cinta Suci Indah Urmila (Johor), Mayrisha Naaila Dyana (Melaka), Puteri Azalia (Kedah), Megat Muhammad Qalif (Terengganu), Melissa Rose (Pulau Pinang) dan Tai Eimran (Selangor)

Setiap finalis membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000, berserta piala dan sijil penyertaan, manakala lima peserta lain menerima hadiah saguhati berupa wang tunai RM1,000, piala, dan sijil.

Rakaman pertandingan ini bakal disiarkan pada bulan September sebagai promosi menjelang pentas kemuncak di Sarawak.

MOHAMED ZAMZURI MOHAMED ZAWAWI