fb fb fb fb fb

Monodrama ‘Serikandi dalam kantung budaya’ hidupkan legasi wanita Perak

Foto UPSI

TANJUNG MALIM, 4 Oktober – Kisah empat tokoh wanita hebat dari Perak diangkat semula ke pentas melalui monodrama eksperimental ‘Serikandi dalam Kantung Budaya’, di Panggung Tinta Pesona, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) malam tadi (Jumaat).

Ketua Penyelidik merangkap pengarah utama pementasan, Dr. Norzuraina Mohd. Nor, berkata karya berkenaan lahir daripada kajian ilmiah pensyarah UPSI yang menelusuri legasi para serikandi negeri, sebelum diterjemahkan ke bentuk persembahan dramatik.

“Projek kreatif ini digerakkan oleh barisan pensyarah dari Fakulti Seni, Kelestarian dan Industri Kreatif (FSKIK) serta Fakulti Muzik dan Seni Persembahan (FMSP). Inisiatif ini mencerminkan usaha UPSI untuk menjadikan penyelidikan seni bukan sekadar catatan akademik, tetapi warisan hidup yang dapat dirasai masyarakat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut beliau, pementasan itu mendokumentasikan kisah empat tokoh wanita yang menjadi simbol kekuatan budaya dan keberanian.

“Mereka ialah Puan Azizah Mohd Yusof, Tokoh Kraf Negara 2018 dalam seni tekatan benang emas; Hajjah Hawa Ngah Salam, Adiguru tembikar Pulau Tiga; Sybil Kathigasu, jururawat berani zaman pendudukan Jepun; serta Puteri Limau Purut, tokoh legenda yang melambangkan kebijaksanaan wanita dalam politik,” jelasnya.

Empat pelakon iaitu Ayudez Zuraina, Ziehan Abdullah, Amira Daniella dan Syahidatul Munirah membawakan monolog minimalis dengan penuh kepekaan emosi dan ekspresi tubuh, sekali gus membawa penonton menyelami perjuangan, nostalgia dan renungan tentang kelestarian budaya.

“Skrip yang bersumberkan penyelidikan akademik ini memanfaatkan bahasa puitis serta ekspresi tubuh sebagai medium utama penyampaian mesej.

"Persembahan ini menjadi satu pengalaman intelektual dan estetik yang seimbang,” katanya lagi.

Pementasan turut diakhiri dengan sesi wacana interaktif bersama pengarah, pelakon dan penyelidik bersama, Dr. Nor Shuradi Nor Hashim serta Amsalib Pisali, bagi memperluas kefahaman tentang seni sebagai wahana penyelidikan.

Dr. Norzuraina yang juga Setiausaha Agung Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) menegaskan, penyelidikan seni tidak seharusnya terhenti di meja akademik semata-mata.

“Ia perlu diterjemahkan di pentas agar terus hidup memberi makna baharu, menjadi jambatan antara ilmu, seni dan masyarakat,” katanya.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD