fb fb fb fb fb

'Memori' angkat kisah benar Alzheimer, ikatan kekeluargaan

Malam gala tayangan perdana Memori

KUALA LUMPUR, 23 Julai – 'Memori' sebuah karya menyentuh hati arahan Abid Hussain yang mengetengahkan penyakit Alzheimer serta hubungan kekeluargaan.

Karya itu merupakan kisah benar yang diangkat ke layar perak sekali gus membawa penonton menyelami kisah kehilangan, penyesalan dan erti kekeluargaan.

Pemenang Anugerah Pelakon Terbaik Asia Pasifik Datuk Hilal Azman turut meluahkan penghargaan kepada pihak yang membuka jalan dalam kerjaya seninya.

"Pertama sekali, saya ucapkan ribuan terima kasih kepada RTM, tempat bermulanya Hilal Azman. Di situlah saya dibentuk dan diberi peluang, sehingga hari ini bergelar pemenang Pelakon Terbaik Asia Pasifik," katanya.

Mengenai cabaran memegang watak Hassan, beliau menyifatkan ia bukan suatu perkara mudah.

"Saya buat kajian dengan menonton video dan memerhati tingkah laku pesakit sebenar, termasuk bapa pengarah, ibu mertua dan makcik saya. Semua itu saya gabungkan agar watak Hassan lebih realistik," katanya.

Ketika ditanya pengalaman berlakon dengan barisan pelakon muda seperti Hisyam Hamid dan Diana Danielle, beliau beliau berpandangan kedua-duanya memberikan komitmen yang baik.

"Hisyam dan Diana juga sangat cemerlang membawa watak masing-masing. Saya bersyukur dapat bekerja dengan dua pelakon yang begitu komited," katanya lagi.

Sementara itu, Hisyam Hamid yang memegang watak Imran mengakui wataknya dalam 'Memori' memerlukan cabaran emosi yang tinggi.

"Watak ini sangat berat. Ada babak marah, sedih, menangis – semuanya perlu keseimbangan mental. Malah, saya tutup media sosial selama dua minggu untuk benar-benar mendalami watak. Ada banyak persamaan antara kehidupan peribadi saya dan kisah filem ini.

"Filem ini dekat di hati ramai orang. Sebab itu ramai yang menangis dan tersentuh selepas menonton. Saya harap penonton datang beramai-ramai ke pawagam, bawalah mak ayah sekali. Anda akan benar-benar rasa apa yang kami cuba sampaikan," katanya.

Selain Datuk Hilal Azman dan Hisyam Hamid, 'Memori' turut menampilkan Diana Danielle.

Penerbit Eksekutif, Zakiah Malek pula menyifatkan filem ini bukan sekadar hiburan, ia merupakan medium untuk mendidik penonton tentang penyakit Alzheimer.

"Tujuan utama filem ini adalah untuk meningkatkan kesedaran tentang penyakit Alzheimer serta mengangkat nilai hubungan antara ayah dan anak yang sering terabai dalam kesibukan hidup," katanya

Memori bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 31 Julai ini.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI