KUALA LUMPUR, 23 Julai – Penggemar filem seram dan komedi bakal disajikan dengan Gerbang Setan, karya terbaru sutradara terkenal Indonesia, Toto Hoedi yang diinspirasikan daripada kisah benar.
Menggabungkan elemen seram dan komedi secara seimbang, Gerbang Setan mengisahkan lima sahabat; Diki, Beni, Rachel, Bagas dan Wina yang menyertai pakej pelancongan seram ke sebuah kampung terpencil bernama Desa Lawase Urip.
Bermula sebagai percutian menyeronokkan bertukar ngeri apabila mereka dihantui makhluk halus, ritual dan kepercayaan roh leluhur.
Barisan pelakon terdiri daripada nama-nama besar komedi Indonesia termasuk Rizza Fahlevi, Ummy Quary, Renaga Taher, Rachel Oldham, Mc Danny, Jarwo Kwat, Cak Lontong, Komeng, Opi Kumis, Marsya Adinda, Rizky Inggar, Eman & Ginanjar 4 Sekawan, Denny Chandra, Bopak Castello, Baron Hermanto, Ferdi Ali, Novilia Annisa, Atep Rizal, Kadir dan Sri Atun.
Penggambaran dijalankan selama 25 hari di Bogor dan Jakarta.
Menurut Toto Hoedi, filem tersebut diinsiprasi daripada tragedi yang berlaku di Jawa Tengah pada tahun 1955, apabila sebuah kampung dikatakan hilang dalam satu malam akibat kezaliman yang berleluasa.
“Gerbang Setan bukan sekadar gerbang fizikal , ia simbol kepada kejahatan seperti judi, mabuk dan kekejaman. Saya sampaikan mesej ini dengan pendekatan komedi supaya lebih segar dan berbeza daripada filem horor biasa,” katanya.
Menurut pelakon Marsya Adinda yang membawakan watak hantu bernama Sulis.
“Sulis ialah anak bongsu yang sangat menyayangi keluarganya, terutama ayahnya yang bangkit semula kerana ingin melindungi keluarganya daripada musibah.” ujarnya.
Sementara itu, Ummy Quary menyifatkan wataknya sebagai Rachel sangat mencabar kerana sifatnya yang sangat berbeza daripada diri sebenar.
“Rachel sangat berani, lantang dan suka menggoda , jauh berbeza dengan saya yang pemalu dan introvert,” katanya.
Tambah Ummy lagi, Gerbang Setan bukan sekadar menghiburkan, malah menyampaikan mesej bermakna,
“Filem ini bukan hanya komedi horor semata-mata. Ia mengangkat nilai seperti keserakahan manusia yang tiada penghujung dan pentingnya kita menjaga adab sesama manusia. Saya harap mesej ini sampai kepada penonton,” tambahnya.
Gerbang Setan bakal menemui penonton di seluruh pawagam Malaysia bermula 7 Ogos 2025.