fb fb fb fb fb

LEV tampil dengan debut “Aku Bukan Bosan”

LEV, secara rasmi melancarkan single pertama berjudul “Aku Bukan Bosan”, menandakan kemunculan sulung mereka dalam industri muzik tanah air

KUALA LUMPUR, 11 Julai – Kumpulan muzik baharu, LEV, secara rasmi melancarkan single pertama berjudul “Aku Bukan Bosan”, menandakan kemunculan sulung mereka dalam industri muzik tanah air selepas ditubuhkan pada 13 Mei 2022.

LEV dianggotai oleh tiga pemuzik; Leo Azman (vokalis, komposer & penulis lirik), Riz (gitaris), dan Kecik (pemain bass). Mereka kini bernaung bawah label Empayar Masdo Sdn. Bhd., syarikat pengurusan yang turut menaungi kumpulan popular MASDO.

Single “Aku Bukan Bosan” merupakan hasil ciptaan sepenuhnya oleh Leo Azman, manakala proses penerbitan, adunan dan mastering disempurnakan oleh Andi, anggota kumpulan terkenal Indonesia Fourtwnty.

Lagu tersebut dirakamkan di Bijanfx Studio melalui lima fasa draf dalam tempoh dua minggu sebelum dimuktamadkan.

Membawa tema pengorbanan lelaki yang berjauhan dari keluarga demi mencari rezeki, lagu tersebut menyentuh aspek kepercayaan dalam hubungan jarak jauh serta kekangan komunikasi yang boleh mengundang salah faham.

“Kami mahu lagu ini mewakili suara golongan yang jarang didengari. Bukan semua orang pandai meluah, tapi muzik boleh bercakap untuk mereka,” kata Andi.

Sebelum pelancaran rasmi, lagu ini telah diperkenalkan kepada umum melalui beberapa persembahan sempena Jelajah Menuju MASDO 10 Tahun, membuka ruang awal buat LEV memperkenalkan identiti muzik mereka kepada pendengar.

Menerusi pendekatan muzik yang bersahaja, lirik jujur dan naratif berasaskan realiti, “Aku Bukan Bosan” tampil sebagai naskhah pertama yang memperkenalkan LEV sebagai kumpulan pendatang baharu yang membawa jiwa segar tenang, reflektif dan tidak berlebihan.

“Lagu ini adalah suara lelaki yang hanya mahu difahami. Dia pergi bukan kerana cinta lain, tapi kerana impian yang harus ditunaikan,” ujar Leo.

Single itu kini boleh distrim di semua platform digital utama.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE