fb fb fb fb fb

DC pertaruh Superman untuk hidupkan semula francais

Barisan pelakon yang membintangi filem Superman Nicholas Hoult (kiri), Rachel Brosnahan (tengah) dan David Corenswet /Foto REUTERS

LOS ANGELES, 12 Julai - Filem terbaharu Superman arahan James Gunn yang mula ditayangkan minggu ini bukan sekadar memperkenalkan wajah baharu wira ikonik itu, malah membawa harapan untuk menghidupkan semula francais adiwira DC yang semakin tenggelam berbanding saingannya, Marvel.

Filem terbitan Warner Bros. ini adalah usaha utama untuk merombak semula dunia sinematik DC Universe, yang turut menampilkan watak seperti Batman dan Wonder Woman.

Penganalisis industri hiburan, David A. Gross, berkata studio telah melabur besar untuk memberi nafas baharu kepada DC Studios.

“Ini filem utama dalam usaha itu,” katanya.

Walaupun tanggapan awal filem ini dilihat positif, ia tidak terlepas daripada pelbagai kritikan.

Antaranya termasuklah kritikan penyokong filem Superman versi lama arahan Zack Snyder serta reaksi terhadap kenyataan pengarah James Gunn mengenai Superman sebagai simbol pendatang di Amerika.

Gunn menjawab kritikan tersebut dan menyifatkan Superman mewakili kisah Amerika itu sendiri iaitu negara yang dibentuk oleh pendatang.

“Saya ingin bawa kisah tentang seorang lelaki yang benar-benar baik. Dan dunia sangat perlukan itu sekarang,” katanya kepada The Times.

Gunn bagaimanapun tidak bimbang dengan tekanan terhadap kutipan filem berkenaan.

“Filem ini tidak perlu capai AS$700 juta untuk dikira berjaya. Itu hanya khabar angin,” katanya kepada GQ.

Warner Bros. berharap filem ini mampu memberi saingan kepada Marvel yang turut berdepan kemerosotan kutipan sejak pandemik lepas.

Filem terbaharu Marvel seperti Thunderbolts dan Captain America: Brave New World juga tidak mencatat sambutan seperti dulu.

Sementara itu, Gross turut menyifatkan kutipan genre adiwira kini telah menurun, namun musim tayangan Julai yang padat tetap memberi harapan agar Superman mencatat kutipan lebih AS$100 juta pada minggu pembukaan di Amerika Utara.

DC Studios sebelum ini gagal dengan beberapa filem seperti Shazam! Fury of the Gods dan Aquaman 2, manakala cubaan mencipta 'Avengers' versi DC melalui Justice League juga gagal di pawagam.

Sama ada versi Superman baharu ini mampu menyelamatkan DC Studios atau menjadi ‘Kryptonite’ kepada francais itu, hanya masa akan menentukan.

Filem Superman dibintangi pelakon baharu David Corenswet sebagai Superman/Clark Kent, Rachel Brosnahan sebagai Lois Lane dan Nicholas Hoult sebagai Lex Luthor.- AFP

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD