KUALA LUMPUR, 11 Julai – Dua figura berbeza jalur seni namun sehati dalam ekspresi, Halim dan penyanyi rap berkarakter tersendiri, Kmy Kmo, tampil dengan kolaborasi penuh isi dan makna menerusi single terbaharu berjudul ‘Layar Boneka’.
Dicipta oleh Kmy Kmo dan HMstatenine, lagu tersebut bukan sekadar hiburan semata-mata, tetapi hadir sebagai seruan emosi dan teguran realiti kepada masyarakat. Ia membicarakan keberanian, harga diri serta kekuatan untuk bangkit dari jatuh menjadikan nista sebagai bahan bakar untuk terus berdiri.
“Saya memang minat muzik Hip Hop, dan karya Kmy punya nilai tradisi dan kekuatan tersendiri,” ujar Halim yang menyuntik elemen emosi dalam setiap persembahannya.
Manakala bagi Kmy Kmo, Halim memiliki keunikan tersendiri, "Suara Halim ada nuansa Rock Melayu yang padu. Dia juga seorang yang sangat tekun, berani mencabar diri dan ikhlas belajar,” katanya.
‘Layar Boneka’ menjadi titik permulaan kolaborasi mereka dalam arena hip hop dan muzik Melayu kontemporari. Lagu berkenaan diadun dengan campuran pop moden, balada dan elemen hip hop Nusantara, membentuk satu pengalaman audio yang menyentuh rasa dan sarat makna.
Audio rasmi dan video muzik ‘Layar Boneka’ kini boleh didengari di semua platform digital dan saluran YouTube rasmi Luncai Emas, selaku pengedar digital lagu ini.
“Ini untuk mereka yang terlalu lama diam akibat nista. Sudah tiba masanya untuk ratakan semuanya,” kata Halim.