fb fb fb fb fb

Legenda Motown, Smokey Robinson disaman AS$50 juta atas dakwaan serangan seksual

Smokey Robinson dan isterinya ketika menghadiri Majlis Pre-Grammy Gala di Beverly Hills, Los Angeles, California / REUTERS

LOS ANGELES, 7 Mei- Empat bekas pembantu rumah legenda Motown, Smokey Robinson, memfailkan saman bernilai AS$50 juta terhadap penyanyi itu atas dakwaan serangan seksual yang berterusan selama bertahun-tahun, dengan isterinya didakwa turut bersekongkol menutup perbuatan tersebut dan mencipta suasana kerja toksik.

Saman itu difailkan di Mahkamah Tinggi Los Angeles County pada Selasa oleh empat wanita berketurunan Hispanic yang menggunakan nama samaran "Jane Doe" bagi melindungi identiti mereka.

Mereka menuduh Robinson, 85, melakukan serangan seksual, penderaan fizikal, pengurungan paksa dan keganasan berasaskan jantina di kediamannya di kawasan Chatsworth, Los Angeles, sejak 2007 hingga 2024.

Isteri Smokey, Frances Robinson, turut dinamakan sebagai defendan dalam saman itu atas dakwaan menggunakan kata-kata berbaur perkauman dan menengking pekerja secara kasar.

Menurut peguam mereka, John Harris, kesemua plaintif mengalami trauma selama bertahun-tahun namun hanya tampil baru-baru ini kerana takut hilang pekerjaan bergaji rendah dan malu atas stigma budaya terhadap mangsa serangan seksual.

“Sudah tentu tiada jumlah wang yang mampu menebus penderitaan mereka, tetapi berdasarkan beratnya kesalahan Robinson, tuntutan ini sangat berpatutan,” kata Harris dalam sidang media sambi mengenakan topeng muka.

Jane Doe 1 mendakwa dia beberapa kali dipaksa melakukan hubungan seks tanpa kerelaan oleh Robinson, termasuk kali terakhir pada 17 Februari 2024, dua hari sebelum ulang tahun ke-84 penyanyi itu. Jane Doe 2 dan 3 pula mendakwa menjadi mangsa sekurang-kurangnya 20 kali.

Setakat ini, pihak pendakwa belum membuka siasatan jenayah memandangkan tiada laporan dikemukakan oleh polis. Jurucakap Pejabat Pendakwa Daerah Los Angeles mengesahkan tiada kes sedang disemak ketika ini.

Robinson, yang terkenal dengan lagu "Tears of a Clown" dan pernah merakam lebih 30 lagu hits bersama kumpulan The Miracles dan secara solo, belum memberikan sebarang kenyataan rasmi. Wakilnya juga gagal dihubungi untuk mengulas lanjut.-REUTERS

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE