KUALA LUMPUR, 28 Julai – Stadium Nasional Bukit Jalil bergema dengan laungan peminat muzik dari segenap pelosok Malaysia dan Indonesia sempena Latihan Pestapora Malaysia 2025 yang julung kali diadakan di ibu negara.
Festival yang dihadiri hampir 30,000 peminat itu mengabungkan 25 artis serumpun Malaysia- Indonesia dilihat sebagai platform dalam menyatukan budaya menerusi muzik.
Lebih 25 persembahan diadakan di dua pentas utama iaitu daripada Feast, Hindia, Nadin Amizah, Barasuara X Efek Rumah Kaca, Bittersweet, Bunkface, Dolla, Pamungkas, Feel Koplo, Kunto Aji, Salammusik, Sheila on 7, Alvn, Aziz Harun, DJ CZA, Dukes, Elva Suyan, Fahimi, Empty Page, Gaston Pong, Ismail Izzani, Julia Duclos, Killa Driz, Lil J, Naki, Sonaone dan Yonnyboii.
Kesemua persembahan mewakili pelbagai genre termasuk pop, rock, hip-hop, indie dan dangdut, menjadikan festival itu sebagai ruang ekspresi paling inklusif dan pelbagai.
Turut menghiburkan peminat pada festival berkenaan ialah kumpulan popular Indonesia Sheila On 7.
Mereka mempersembahkan rangkaian lagu ikonik mereka seperti Dan, Melompat Lebih Tinggi, Sephia, Kita, dan Sahabat Sejati.
Ketua Pegawai Eksekutif Hitman Solutions Rohit Rampal berkata, kejayaan acara itu adalah bukti bahawa Malaysia mampu menjadi tuan rumah kepada festival antarabangsa berskala besar.
"Merealisasikan Latihan Pestapora di Malaysia adalah satu pencapaian besar. Ia bukan sahaja kejayaan produksi, tetapi juga simbol kejayaan budaya.
"Kami membawa satu IP (harta intelek) festival antarabangsa ke Malaysia dan berjaya membuka ruang untuk penonton tempatan dan luar negara menikmati pengalaman ini di tanah air sendiri," katanya.
Melihat kepada sambutan luar biasa dan maklum balas positif daripada peminat serta media, penganjur menyatakan hasrat menjadikan Latihan Pestapora Malaysia sebagai acara tahunan.
"Kami yakin ini hanyalah permulaan. Dengan sokongan luar biasa, kami bersemangat untuk memperluas skala penganjuran dan membuka lebih banyak peluang kolaborasi seni rentas negara," jelas Rohit Rampal.
Sementara itu, Pengarah Festival Pestapora & Pengasas Bersama Boss Creator Kiki Ucup pula menyifatkan festival itu sebagai satu pergerakan budaya yang penting.
"Kami melihat sendiri bagaimana peminat dari Malaysia terbang ke Jakarta saban tahun untuk menyertai Pestapora. Kini tiba masanya kami bawa 'latihan' ke sini agar rakyat Malaysia juga dapat merasai magisnya. Ini lebih daripada sekadar konsert, ia adalah pengalaman membina komuniti dan semangat serantau," katanya.
Dengan kehadiran ribuan peminat, festival itu membuktikan bahawa Malaysia bersedia menjadi pusat tumpuan baharu festival muzik serantau.