fb fb fb fb fb

'Lagu Paling Tinggi Distrim' ditentukan sepenuhnya berdasarkan data penstriman

Ernie Zakri dan Ade Govinda mempersembahkan lagu Masing Masing yang turut menerima anugerah 'Lagu Paling Tinggi Distrim' pada AIM24

KUALA LUMPUR, 20 September - Pemenang bagi kategori 'Lagu Paling Tinggi Distrim' pada AIM24 ditentukan sepenuhnya berdasarkan data penstriman yang dibekalkan kepada RIM penyedia data pihak ketiga melalui proses automatik.

Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) dalam satu kenyataan memaklumkan lagu 'Old Love' nyanyian Yuji dan Putri Dahlia tidak tersenarai dalam Carta Domestik RIM, carta mingguan rasmi yang menyenaraikan lagu tempatan paling tinggi distrim di Malaysia disebabkan isu teknikal dengan pendaftaran ISRC lagu tersebut.

"ISRC (International Standard Recording Code) ialah pengenal pasti unik dan kekal bagi setiap rakaman bunyi dan rakaman video muzik yang diterbitkan. Ia berfungsi sebagai 'cap jari digital' yang membolehkan penjejakan jualan, penstriman dan royalti dilaksanakan dengan tepat merentasi perkhidmatan serta platform di seluruh dunia.

"Untuk sesebuah lagu dikenalpasti sebagai “keluaran tempatan Malaysia” dalam Carta Domestik RIM, ISRC lagu tersebut mestilah bermula dengan awalan negara “MY”. Tag ini membolehkan sistem automatik mengklasifikasikan dan mengambil kira rakaman berkenaan sebagai sebahagian daripada hasil rakaman tempatan Malaysia, menurut kenyataan itu.

Dalam kes 'Old Love', lagu tersebut telah didaftarkan dengan tiga ISRC berbeza yang bermula dengan awalan luar negara (contohnya SE, TL, QZ) dan bukannya MY.

Akibatnya, lagu tersebut tidak dikenalpasti secara automatik sebagai lagu tempatan Malaysia dan tidak dimasukkan dalam Carta Domestik RIM.

"Isu teknikal ini menjelaskan mengapa 'Old Love', walaupun mencapai jumlah strim yang tinggi, tidak diambil kira dalam kategori AIM24 'Lagu Paling Tinggi Distrim' yang berpandukan sepenuhnya kepada Carta Domestik RIM," tambah kenyataan itu.

Bagaimanapun RIM mengambil maklum terhadap isu yang dibangkitkan dan ingin menegaskan kepentingan mendaftarkan ISRC melalui RIM bagi semua rakaman muzik yang diterbitkan di Malaysia.

Langkah itu memastikan artis dan penerbit tempatan menerima pengiktirafan sewajarnya, sama ada dalam carta rasmi industri muzik mahupun dalam pertimbangan anugerah muzik.

RIM menggalakkan semua pihak berkepentingan dalam industri muzik; label, pengedar dan artis bebas untuk bekerjasama dengan RIM bagi memastikan pendaftaran kod ISRC dengan awalan negara 'MY' bagi semua rakaman tempatan.

Perkara itu bagi mengelakkan isu berulang pada masa hadapan dan menjamin penonjolan muzik serta artis Malaysia di peringkat tempatan dan antarabangsa.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI