fb fb fb fb fb

Konsert 'The Journey of Sound' kukuhkan persahabatan Malaysia-Indonesia

Konsert perdana bertajuk The Journey of Sound bakal diadakan di Stadium Merdeka, 14 Disember ini / Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 20 Oktober – Universe Gateway dengan bangganya mempersembahkan kolaborasi luar biasa antara dua ikon muzik terkenal, Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Judika, dalam konsert perdana bertajuk The Journey of Sound yang bakal diadakan di Stadium Merdeka, 14 Disember ini.

Konsert tersebut dijangka menjadi penutup gemilang tahun ini dengan mempromosikan persahabatan erat antara Malaysia dan Indonesia melalui seni muzik.

The Journey of Sound akan menyatukan genre muzik unik dari kedua-dua negara dalam mengukuhkan hubungan peminat muzik di seluruh Nusantara.

“Alhamdulillah, konsert ini sangat istimewa bagi saya kerana saya akan berkongsi pentas dengan sahabat saya, Judika. Kami berdua menjadi artis utama dan ini adalah impian peminat yang akhirnya direalisasikan,” kata Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Judika turut menyatakan kegembiraannya dengan kolaborasi tersebut.

“Lagu-lagu yang akan kami sampaikan masih dibincangkan, tetapi kami akan menyesuaikannya dengan konsep dari Universal Gateway. Ini adalah kolaborasi impian yang akan menjadi perbualan ramai,” katanya.

Selain menikmati persembahan hebat, peminat berpeluang memenangi hadiah istimewa, termasuk sebuah kereta bagi tiket berharga RM500 ke atas dan sebuah skuter bagi tiket di bawah RM500.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN