(Kumpulan Raihan mempersembahkan lagu sempena sidang media 'Konsert Garis Masa Raihan')
KUALA LUMPUR, 4 September- Kumpulan nasyid legenda yang sudah melewati 26 tahun pembabitan dalam industri muzik tanah air, Raihan akan kembali dalam menjayakan Konsert Garis Masa Raihan pada 26 November depan di Stadium Malawati, Shah Alam.
Konsert yang bakal dipersembahkan kepada khalayak itu mensasarkan kehadiran 7,000 penonton.
Kali terakhir kumpulan itu mengadakan konsert di tanah air adalah sekitar tahun 2000.
Konsert Garis Masa Raihan itu, merupakan hadiah buat peminat nasyid tempatan.
Menurut Che Amran salah seorang anggota Raihan, "kami sangat gembira kerana masih ada orang percaya dan yakin peminat Raihan masih mengikuti dan Raihan masih boleh buat persembahan."
(Kumpulan Raihan ketika sidang media 'Konsert Garis Masa Raihan')
Abu Bakar turut menambah, "paling utama kami fokus kepada persembahan kami nanti sebab persembahan itu kemungkinan sekitar hampir 2 jam dan lebih kurang 15 ke 20 buah lagu bakal dinyanyikan.
"Memang kena banyak persediaan dan konsep kita berbeza kerana banyak peralatan dan juga vokal kami." Jelasnya ketika ditemui pemberita.
Harga tiket serendah RM95 sehingga RM500 bagi tiket VIP.
Kumpulan ini juga pernah meledakkan irama nasyid di Malaysia dengan lagu-lagu ketuhanan seperti, Iman Adalah Mutiara, 12 Bulan Islam dan 25 Rasul.