KUALA LUMPUR, 4 Mei- Konsert GenKRU yang memulakan konsertnya semalam mencipta detik bersejarah tersendiri dalam industri muzik tanah air apabila kumpulan tiga beradik itu Datuk Norman Abdul Halim, Datuk Yusry Abdul Halim dan Edry Abdul Halim muncul sebagai kumpulan muzik Melayu pertama menggunakan teknologi HoloBox AI.
Lebih 11,000 peminat menonton persembahan bertenaga daripada kumpulan Pop Hip-Hop nombor satu Malaysia.
Simbolik dengan ulang tahun ke-33 KRU dalam industri muzik, ia menjadikan angka 33 sebagai lambang kepada tiga dekad perjuangan kumpulan yang dianggotai tiga ahli asal pada tiga malam konsert.
Penonton dipersembahkan kira-kira 20 buah lagu antaranya Fanatik, Ohh! La La!, Jangan Lafazkan, Di Dalam Dilema dan Awas.
Kumpulan berkenaan turut menyanyikan lagu Perpisahan terasing daripada Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad sebagai memperingati dan memberi penghormatan kepada penyanyi ikonik itu.
Pentas konsert berkenaan turut dimeriahkan dengan kumpulan Elite yang menyanyikan lagu duet dengan KRU berjudul Di Pintu Syurga.
Selain Elite, bintang realiti yang pernah mewarnai industri hiburan tempatan Adam turut menyanyikan lagu popularnya, Terhangat Di Pasaran.
Konsert KRU diadakan selama tiga hari iaitu 3, 4 dan 10 Mei sebagai penghargaan buat peminatnya yang telah menyokong karier seni kumpulan itu yana telah mencipta fenomena sejak 1992.