RIO DE JANEIRO, 5 Mei- Dua suspek ditahan kerana merancang serangan bom ketika berlangsungnya konsert penyanyi terkenal, Lady Gaga di Copacabana, di sini, yang dihadiri kira-kira dua juta peminat, pada malam Sabtu lalu.
Polis Rio de Janeiro berkata serangan itu dirancang menggunakan bahan letupan buatan sendiri dan bom botol dengan suspek cuba merekrut penyerang termasuk dalam kalangan remaja.
Menurut polis, matlamat serangan tersebut adalah untuk meraih perhatian di media sosial.
Operasi berkenaan dilaksanakan penuh kerahsiaan di seluruh negeri Rio de Janeiro serta di Sao Paulo, Rio Grande do Sul dan Mato Grosso.
"Kami bertindak secara senyap dan tepat, tanpa mencetuskan panik. Ia tindakan yang sangat terancang," kata Felipe Curi dari Polis Sivil Rio de Janeiro.
Konsert percuma Lady Gaga di Copacabana merupakan kemunculan sulungnya di Brazil sejak 2012 dan acara kedua berskala jutaan pengunjung di lokasi sama selepas persembahan Madonna tahun lalu.
Kawalan keselamatan juga ditingkatkan termasuk menempatkan 5,000 pegawai polis, dron, kamera pemantauan dan sistem pengecaman wajah. -AFP