fb fb fb fb fb

Konsert gandingan Jamal Abdillah, Zamani, 26 Mac ini



KUALA LUMPUR, 12 Februari- Selepas lebih dua tahun tidak dapat menjayakan sebarang persembahan pentas, Datuk Jamal Abdillah akan berganding dengan Zamani bagi menjayakan konsert 'A Night To Remember”'pada 26 Mac ini di sebuah hotel terkemuka di ibu negara.

Jamal berkata, faktor kesihatan menjadi tumpuan utamanya, memandang keadaan situasi jangkitan COVID-19 yang tidak menentu ketika ini.

“Perkara utama yang saya perlu beri perhatian adalah kesihatan. Sebelum menjelang konsert, sebenarnya saya ada beberapa lagi jemputan persembahan lain.

“Jadi saya memang sentiasa berjaga-jaga supaya tidak hilang suara pada malam konsert,” katanya.

Pada konsert itu, Jamal turut bercadang untuk menyanyikan lagu rakan-rakan artis yang telah meninggal dunia sebagai penghargaan kepada mereka.

Jamal akan mempersembahkan lapan buah lagu solo, manakala Zamani bakal menyanyikan enam lagu beserta dua buah lagu duet menggabungkan kedua-dua penyanyi berkenaan.

Sementara itu, Zamani pula memberitahu, beliau memilih mendendangkan lagu daripada album solonya bagi mengetengahkan kelainan berbanding konsertnya bersama Slam.

" Saya mahu tonjolkan lagu-lagu solo saya, berikan seditikt kelainan, jika ada permintaan penonton barulah saya akan selitkan satu atau dua lagu kumpulan Slam, tiada masalah, asal dapat menghiburkan penonton," katanya

Mengakui teruja untuk mengadakan konsert ini kerana tidak mengadakan persembahan secara terbuka hampir dua tahun, namun Zamani mengakui agak bimbang dengan jumlah kes COVID-19 yang semakin meningkat sejak kebelakangan ini.

“Saya berharap segala perancangan akan berjalan dengan lancar dan angka jangkitan Covid-19 yang meningkat tidak akan menjejaskan persembahan kami,” katanya.

Kedua-dua penyanyi lelaki bersuara lunak yang tidak asing dalam arena seni suara tanah air itu kini sedang giat melakukan persediaan rapi untuk memberikan persembahan terbaik buat peminat yang bakal hadir pada malam konsert itu.

A Night To Remember' berkonsepkan ‘Pop Night’ yang menggabungkan persembahan dalam suasana makan malam yang akan diiringi oleh Ritz Metalasia dan Sham Wings sebagai pemain gitar bersama pemuzik lain secara langsung.

Sementara itu, Jamal juga bakal menghasilkan satu album khas bagi mengenang penyanyi lagenda Tan Sri P.Ramlee dan komposer S.Effendi.

Jelas Jamal beliau kini dalam proses mengumpul koleksi lagu-lagu berkenaan.

" Saya memang sebelum ini pun banyak merakamkan lagu-lagu ciptaan S. Effendi dan lagu-lagu dendangan P.Ramlee juga, saya sememeangya antara peminat kedua-dua lagenda ini, jadi jika berkesempatan saya mahu himpunkan lagu-lagu mereka buat satu album," katanya.

Media Baharu