KUALA LUMPUR, 9 Februari - Industri seni tanah air kehilangan penyanyi popular 1980-an, Mastura Ismail yang terkenal dengan lagu "Apo Kono Eh Jang" meninggal dunia pada usia 65 tahun akibat kanser rahim.
Berita berkenaan disahkan oleh adiknya, Ibrahim S yang memaklumkan Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Taman Cheras Idaman, Kajang, Selangor pada 8.50 malam Rabu.
Allahyarham yang lahir pada tahun 1957, memulakan karier seninya pada usia 12 tahun berduet bersama abangnya Afzainizam Ismail.
Selain menyanyi, Allahyarham juga pernah berlakon drama "Apo Kono Jang" siaran RTM pada tahun 1988.
Allahyarham Mastura meninggalkan dua orang anaknya seorang lelaki berumur 42 tahun dan seorang perempuan, 40 tahun.
"Arwah sakit kanser rahim tahap lima sejak setahun yang lalu", katanya kepada RTM.
Adiknya menyifatkan arwah seorang yang berdisiplin sepanjang kariernya sebagai seorang penyanyi.
"Arwah seorang yang baik dan tidak banyak karenah sebagai seorang penyanyi. Arwah juga menjadi idola orang Negeri kerana arwah menyanyikan lagu-lagu Minang khususnya".
Jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Sg Long, Cheras pada Khamis sebelum Zohor.