PETALING JAYA,13 Februari - Berita baik buat pencinta seni budaya dan sebagai memenuhi harapan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) dalam memartabatkan seni silat ke layar perak, filem Syahadan kini bakal ditayangkan.
Ia diterbitkan dengan kerjasama Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA) yang bertujuan mengangkat seni bela diri warisan Melayu serta mewujudkan semangat cintakan negara dan nilai-nilai murni.
Filem pertama terbitan Trilion Marketing Sdn. Bhd. turut menampilkan pesilat negara, Al-Jufferi Jamari sebagai teraju utama dengan penglibatan pelakon veteran, Anuar Rahman.
Karya Datuk Dr Fairus Hussain dan Halim Hassan ini berkisarkan tentang seorang remaja bermasalah bernama Omar yang hidup tanpa arah tujuan serta diserapi unsur hedonisme.
"Jadi kalau lihat filem ini, ia terdiri daripada pelbagai jenis silat, di Malaysia kita gabungkan daripada cekak harimau, silat lincah, silat gayung, semua kita ambil, satukan menjadi sebuah karya, jadi karya ini berdasarkan kepada masalah sosial, apabila seorang anak tidak ada ibu, apa akan jadi pada dia," katanya yang ditemui pada majlis tayangan perdana filem Syahadan, di sini.
Bersesuaian dengan maksud di sebalik nama Syahadan itu sendiri yang membawa erti permulaan cerita, filem ini akan ke layar perak dan bakal menemui penonton di 41 pawagam terpilih seluruh negara bermula 17 Februari ini.
Filem ini telah menerima tawaran dari produksi serta agensi dari negara Turki yang berhajat untuk sambungan kedua dengan menampilkan barisan pelakon terkenal serta kandungan aksi yang lebih padat.
Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah turut mencemar duli berangkat ke tayangan perdana filem Syahadan yang berlangsung di TGV One Utama, semalam.