KUALA LUMPUR, 26 Mei – Dua penyanyi berjiwa besar dari Malaysia dan Indonesia, Ernie Zakri dan Anggi Marito, bergabung dalam kolaborasi menyentuh hati menerusi single baharu berjudul “Kisah Penuh Kecewa” – sebuah lagu balada yang mengangkat kisah cinta tidak kesampaian namun penuh ketabahan.
Lagu tersebut yang kini boleh didengari di semua platform penstriman digital sejak 23 Mei lalu, turut dilancarkan bersama video muzik rasmi yang menampilkan naratif visual mendalam seiring emosi lagu tersebut.
Ernie Zakri yang baru-baru ini merangkul anugerah Vokal Terbaik AJL 39, menyifatkan kerjasama ini sebagai pengalaman bermakna dalam kerjayanya, manakala Anggi Marito yang merupakan bintang Indonesian Idol musim ke-11, menganggap kolaborasi dengan Ernie sebagai satu penghormatan besar.
Rakaman lagu tersebut dijalankan di Jakarta ketika bulan Ramadan. Menurut Ernie dan Anggi, prosesnya berjalan lancar dengan bimbingan pengarah vokal IRVNAT, menjadikan hasilnya kukuh dari segi emosi dan teknikal.
Lagu tersebut dicipta oleh Clara Riva, Ernie Zakri, Anggi Marito dan penerbit muzik S/EEK, menampilkan susunan vokal yang menyentuh jiwa serta lirik yang terus kepada maksud menjadikan mesejnya mudah difahami dan merentas sempadan bahasa dan budaya nusantara.
Sebagai pelengkap kolaborasi ini, Anggi Marito bakal tampil bersama Ernie Zakri dalam konsert “Aura: Ernie Zakri Live in Concert” pada 31 Mei 2025 di The Theatre at Mediacorp, Singapura, yang dijangka menjadi malam penuh emosi dan persembahan bertenaga.