fb fb fb fb fb

Kematian Gene Hackman dan isteri tiada unsur jenayah

Pelakon AS Gene Hackman (Tengah) ditemani oleh rakan pelakon Robin Williams (Kiri) dan Michael Caine (Kanan) selepas beliau menerima Anugerah Cecil B. DeMille di Majlis Anugerah Golden Globe ke-60 di Beverly Hills, California. / Foto AFP.

LOS ANGELES, 8 Mac-Kematian pemenang Oscar, Gene Hackman, dan isterinya berpunca akibat punca semula jadi dengan selang masa kira-kira seminggu, menurut laporan pegawai forensik pada Jumaat, sekali gus menamatkan lebih seminggu spekulasi mengenai kematian salah seorang bintang Hollywood yang paling disayangi.

Mayat bintang filem The French Connection dan isterinya ditemui pada 26 Februari di rumah mereka di New Mexico.

"Punca kematian Gene Hackman, 95 tahun, adalah penyakit kardiovaskular hipertensi dan aterosklerotik, dengan penyakit Alzheimer sebagai faktor penyumbang yang signifikan," kata Heather Jarrell, ketua pegawai forensik dari Pejabat Penyiasat Perubatan New Mexico kepada pemberita.

"Punca kematian Betsy Hackman, 65 tahun, adalah sindrom pulmonari hantavirus. Cara kematian adalah semula jadi", tambah Jarrell.

Tiada tanda trauma pada mayat mereka, dan tiada petunjuk mengenai keracunan karbon monoksida, yang sebelum ini menjadi salah satu kemungkinan menyumbang kepada kematian pasangan berkenaan.

Hantavirus ialah penyakit yang menyerupai selesema, dengan simptom seperti demam, sakit otot, batuk, muntah, dan cirit-birit, yang boleh berkembang menjadi kesukaran bernafas serta kegagalan jantung atau paru-paru, jelas Jarrell.

"Penyakit ini boleh berlaku selepas satu hingga lapan minggu terdedah kepada najis daripada spesies tikus tertentu yang membawa hantavirus," tambahnya.

Data dari alat pacemaker Hackman menunjukkan aktiviti terakhirnya berlaku lebih seminggu sebelum mayatnya ditemui, selepas pekerja penyelenggaraan gagal memasuki kediaman luas pasangan itu di Santa Fe.

"Berdasarkan maklumat ini, boleh disimpulkan bahawa Hackman kemungkinan besar meninggal dunia sekitar 18 Februari.

"Berdasarkan keadaan, boleh diandaikan bahawa isterinya meninggal dunia terlebih dahulu, iaitu 11 Februari menjadi kali terakhir beliau masih hidup," kata Jarrell.

Pasukan penyelamat menemui pintu rumah dalam keadaan tidak berkunci dan terbuka, dengan pil bertaburan di sebelah mayat Betsy Hackman yang berada di bilik mandi.

Mayat Gene Hackman pula ditemui di bilik lain dalam keadaan berpakaian lengkap, dengan cermin mata hitam berdekatan, menunjukkan kemungkinan beliau rebah secara tiba-tiba.

Seekor anjing ditemui mati di dalam bilik mandi, manakala dua ekor anjing lain masih hidup dan berada di dalam rumah tersebut.

Selain daripada bedah siasat, penyiasatan turut menumpukan kepada menyusun semula garis masa hari-hari terakhir pasangan itu, sesuatu yang menjadi cabaran kerana mereka menjalani kehidupan yang sangat peribadi dan mengelak daripada menjadi perhatian umum.

Hackman, pemenang dua Anugerah Akademi (Oscar), dikenali dengan gaya lakonan yang penuh intensiti, yang diinspirasikan oleh pengalaman hidupnya yang sukar, serta membintangi puluhan filem sehingga usianya mencecah 70-an.

Beliau diingati sebagai detektif kasar New York, Jimmy "Popeye" Doyle, dalam filem thriller jenayah The French Connection (1971), yang melayakkannya menerima Oscar bagi kategori Pelakon Terbaik.

Dua dekad kemudian, beliau memenangi satu lagi anugerah Oscar dalam kategori Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik menerusi wataknya sebagai sheriff kejam "Little Bill" Daggett dalam filem koboi Unforgiven (1992).-AFP.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD