KUALA LUMPUR, 13 November- Kekuatan vokal dan persembahan nyanyian yang memukau, menjadi aset utama penyanyi, Liza Aziz sering mendapat jemputan di luar negara.
Terbaharu, beliau bakal membuat persembahan di Brunei dalam majlis perkahwinan diraja, Putera Mateen pada Januari depan.
"Komen saya bukan mereka tak tahu kita punya bakat di sini, tapi Alhamdulilah untuk jemputan menyanyi di luar sana, itu dinamakan rezeki dan rezeki tu datang bertalu-talu khususnya di luar negara," katanya selepas membuat persembahan dalam program Hiburan Minggu Ini (HMI) di Angkasapuri baru-baru ini.
Liza yang juga adik kepada penyanyi Azlina Aziz turut merancang berkolaborasi untuk konsert tahun hadapan.
"Sebenarnya, saya dan Azlina sudah merancang untuk mengadakan sebuah konsert pada tahun ini.tetapi disebabkan kesibukan masing-masing, kami terpaksa menangguhkan perancangan tersebut.
“Tambahan pula dengan lambakan konsert yang diadakan masa sekarang, mungkin belum sesuai untuk kami tampil membuat konsert.
“Tapi Insya-Allah, panjang umur dan sekiranya masih dipinjamkan kesihatan, kami akan mengadakan konsert tahun depan. Yang pasti, penaja sudah ada,” kongsinya.
Memulakan kerjaya nyanyian sekitar tahun 80-an, Liza sebelum ini sudah merakamkan beberapa album, termasuk dua album studio iaitu Liza yang diterbitkan pada 1992 dan Hati Ini (1995).