fb fb fb fb fb

Ke arah mendigitalkan industri seni, portal SENIMAN bakal diwujudkan

Presiden SENIMAN, Zed Zaidi

KUALA LUMPUR, 8 Disember - Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) bakal mempunyai portal sendiri ke arah mendigitalkan industri seni.

Presiden SENIMAN, Zed Zaidi berkata portal itu akan memudahkan pelbagai urusan seperti pendaftaran ahli secara dalam talian dan menjadi direktori peringkat antarabangsa.

"Bila kita sudah mendigitalkan, secara tidak langsung dia akan mempermudahkan daripada sudut pentadbiran, pengurusan dan sebagainya. Jadi ini yang kita tekankan terutama sekali tentang kelestarian profesion, kesejahteraan dan kebajikan secara digital melalui portal seniman nanti," katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas mempengerusi Mesyuarat Agung Tahunan SENIMAN ke-22 di Pawagam Mini P.Ramlee, di Finas, di sini Zed Zaidi berkata portal SENIMAN juga bakal membuka peluang pekerjaan.

Beliau berkata, ahli SENIMAN yang mempunyai kepakaran atau pengalaman luas boleh menjadi tenaga pengajar dalam industri seni.

"Kita mahu SENIMAN melalui portal itu nanti www.seniman.com.my menjadi direktori membantu kita untuk mewujudkan lebih banyak tenaga pengajar," katanya.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN