fb fb fb fb fb

'Kau Abang-Abang Aku': RTM siar drama Tamil sempena Deepavali 

Drama 13 episod 'Kau abang-abang aku' bakal ditayangkan setiap Khamis, pada pukul 9.00 malam di saluran TV2 bermula 14 November depan/FOTO UDTV RTM

KUALA LUMPUR, 29 Oktober – Radio Televisyen Malaysia (RTM) kembali merancakkan industri seni dengan drama Tamil yang memaparkan sebuah kisah kekeluargaan bertajuk "Kau Abang-Abang Aku', sempena sambutan perayaan Deepavali.

Drama ini susulan kejayaan siri 'Kau Abang Aku', menampilkan keunikan tersendiri melalui karya arahan pengarah Wan Afzam Wan Daud.

Menggunakan bahasa Tamil sepenuhnya dan dibarisi pelakon-pelakon India seperti Alvin Martin, Thevaguru, Tivagaran, Khesshika, Hamsni, Devakanni, Lynna, Shamvanan, dan Sasitharan K. Rajoo, Kau Abang-Abang Aku menjanjikan kelainan dalam lanskap drama tempatan.

"Kisah bermula apabila Ricky, Rohit, dan Ramesh menerima perkhabaran mengenai kematian ayah mereka di luar negara.

"Mereka diminta pulang ke rumah agam bagi tujuan pembahagian harta dengan syarat ketiga-tiga mereka perlu mencari adik perempuan mereka, Ratna, yang menghilangkan diri bertahun-tahun.

"Dalam usaha mencari Ratna, maka muncullah watak-watak lain yang mempunyai agenda tersendiri," menurut Unit Drama TV (UDTV) RTM menerusi kenyataan hari ini.

Dengan latar indah Cameron Highlands, 'Kau Abang-Abang Aku' bukan sahaja mengetengahkan budaya India dalam drama Melayu tetapi juga memberi penekanan kepada nilai kekeluargaan dan konflik dalaman.

Jangan lepaskan peluang menyaksikan apakah nasib Ratna dan adakah mereka akan berjaya merungkai segala misteri yang menyelubungi keluarga mereka.

Drama 13 episod ini bakal ditayangkan setiap Khamis, pada pukul 9.00 malam di saluran TV2 bermula 14 November depan.

GRACE AISYAH KEDAYAN