fb fb fb fb fb

Jin BTS tamat perkhidmatan ketenteraan, mahu rai bersama peminat

Foto Reuters

SEOUL, 12 Jun- Bintang fenomena k-pop daripada kumpulan BTS, Jin pada Rabu telah berjaya menamatkan perkhidmatan ketenteraan wajibnya di Korea Selatan.

Setelah 18 bulan berkhidmat, Jin merupakan ahli pertama kumpulan BTS yang menyelesaikan tanggungjawab berkenaan sekali gus membenarkan dia kembali menceburi bidang dan kerjaya muziknya.

Rakaman di televisyen menunjukkan Jin, 31, berpakaian seragam dan beret hitam, kelihatan emosi ketika dia memeluk rakan sekerjanya di sebuah pangkalan tentera di Yeoncheon, wilayah Gyeonggi.

"Saya menangis semasa majlis itu. Tetapi ia sangat menyeronokkan untuk satu tahun enam bulan yang lalu. Ia sangat melegakan, saya bertemu dengan begitu ramai orang yang hebat," kata Jin kemudian semasa siaran langsung yang mendapat lebih tiga juta tontonan di platform fandom Weverse.

Saham HYBE 352820.KS, label yang menempatkan BTS, melonjak 1.01% pada dagangan awal manakala indeks penanda aras KOSPI meningkat 0.35%.

Media Korea Selatan melaporkan beberapa lagi anggota kumpulan 'septet' yang kini berkhidmat dalam tentera, memohon cuti untuk meraikan majlis itu.

Antaranya ialah penyanyi rap RM, yang menyambut Jin dengan saksofon untuk memainkan lagu hit kumpulan "Dynamite".

Jin menjadi ahli kumpulan pertama yang menyertai tentera pada Disember 2022.

Empat ahli kumpulan terakhir memulakan perkhidmatan mereka pada Disember 2023, dengan kumpulan itu dijangka bersatu semula pada 2025 selepas mereka semua menyelesaikan tugas mereka.

Jin merancang untuk meraikan pelepasannya dengan acara di Seoul pada Khamis di mana dia akan menyambut bersama peminat dan mengadakan persembahan.

Kumpulan itu memulakan kerjaya pada 13 Jun 2013, dan sejak itu menjadi wajah K-pop, salah satu eksport budaya terbesar di Korea Selatan.

Korea Selatan menghendaki semua lelaki berbadan sihat berumur antara 18 dan 28 untuk berkhidmat antara 18 hingga 21 bulan dalam perkhidmatan tentera atau sosial.

Namun, kerajaan telah menyemak semula undang-undang pada 2020 untuk membenarkan bintang K-pop yang diiktiraf di peringkat global menangguhkan pendaftaran sehingga umur 30 tahun.- REUTERS

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM