fb fb fb fb fb

Senandung Rakyat Pahang himpun dua generasi penggiat lagu-lagu tradisional

Foto RTM

KUANTAN, 9 Jun- Persembahan nyanyian dua generasi penggiat lagu-lagu tradisional negeri Pahang menjadi pengisian kepada Program Senandung Rakyat Pahang 2024 anjuran RTM Pahang di Auditorium Darul Makmur, Kuantan malam tadi.

Berlangsung selama dua jam, persembahan 14 lagu-lagu tradisional turut diserikan dengan keberangkatan Tengku Ampuan Pahang, Tengku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Program nyanyian lagu tradisional rakyat negeri Pahang itu merupakan kesinambungan kepada Pertandingan Senandung Rakyat Pahang yang diadakan di lokasi sama tahun lepas oleh 10 finalis.

Selain mengenengahkan lagu-lagu tradisional setiap daerah di negeri Pahang, bait-bait lagu didendangkan turut menyampaikan mesej nasihat menggunakan loghat atau dialek yang diiringi dengan tarian, gendang Pahang, gurindam dan pantun.

Malah ia menjadi medium mempromosikan lagu-lagu rakyat negeri ‘tok gajah’ itu di pentas lebih tinggi yang turut disiarkan secara langsung melalui saluran TV2 dan menerusi platform aplikasi RTMKlik serta penstriman di facebook PahangFM.

Antara artis tempatan yang membarisi persembahan itu adalah, Roslan Maadun, Anak Kayan, Anok Semantan, Iera Malik, Chik Hasan, Farah Waheeda dan Sol Bahari. 

Program yang bersiaran selama dua jam itu dihoskan oleh DJ Harun dan Noor Khiriah selain diserikan lagi dengan persembahan daripada artis jemputan iaitu Datuk Zainal Abidin.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah Penyiaran (Strategik) Nasaruddin  Abdul Muttalib, dan Pengarah Bahagian Program Radio Saifuzzaman Yusop

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD