HYDERABAD, 14 Disember- Pelakon terkenal Telegu, Allu Arjun, telah ditahan pada Jumaat, seminggu selepas seorang wanita maut dan anak lelakinya cedera parah akibat rempuhan peminat yang berlaku semasa kemunculan mengejutnya di tayangan perdana filem terbaharunya, menurut pihak polis.
Allu Arjun, bintang besar dalam industri filem Telugu yang berpusat di negeri Andhra Pradesh dan Telangana, menjadi tumpuan di tayangan perdana yang berlangsung di Hyderabad pada 4 Disember lalu.
Ketika ribuan peminat berebut untuk bertemu dengannya, seorang wanita berusia 39 tahun dilaporkan meninggal dunia akibat sesak nafas, manakala anaknya yang berusia sembilan tahun mengalami kecederaan serius.
Pihak polis sebelum ini telah menahan pemilik pawagam tempat kejadian dilaporkan berlaku, dan pada Jumaat mereka menahan Allu Arjun di kediamannya.
Bagaimanapun, pelakon berusia 41 tahun itu dibebaskan dengan jaminan oleh mahkamah tempatan beberapa jam selepas ditahan, dan dijangka akan keluar dari penjara tidak lama lagi, menurut peguamnya.
Menurut dokumen aduan polis yang dilihat oleh Reuters, Allu Arjun telah dinamakan dalam aduan awal yang mendakwa bahawa pengawal keselamatan peribadinya bertindak kasar dalam usaha untuk mengawal orang ramai di sekitarnya, menyebabkan wanita tersebut menjadi sesak nafas sehingga membawa kepada kematian.
Namun, peguam Arjun menafikan sebarang salah laku oleh pelakon itu, dan Arjun sendiri telah memohon maaf secara terbuka atas insiden yang berlaku.
Di India, bintang filem seperti Allu Arjun sering dianggap sebagai figura luar biasa, dengan peminat fanatik yang menubuhkan kelab peminat, membina kuil untuk idola mereka, dan menjalankan upacara seperti memandikan poster mereka dengan susu semasa tayangan perdana filem.
Industri filem Telugu, yang juga dikenali sebagai Tollywood, terus menghasilkan filem-filem 'blockbuster' yang mendapat sambutan hangat, dengan bintang-bintangnya menjadi ikon budaya dan sosok penting dalam kehidupan masyarakat setempat.-AFP.