KUALA LUMPUR, 25 Oktober- Setiap individu yang terlibat dalam industri hiburan, tidak kira generasi baharu atau lama perlu saling hormat-menghormati antara satu sama lain.
Jelas penyanyi terkenal era 90-an, Fauziah Latiff, keberadaan seseorang artis dalam industri muzik ini bukan hanya pada bakat semata-mata.
"Pertama sekali kita perlu memikirkan tujuan kita. Jika kita menceburi diri dalam bidang industri muzik, sama ada nyanyian, kita perlu beradab dan menghormati orang-orang di sekeliling termasuk ahli keluarga.
"Setakat ini alhamdulilah, saya sentiasa menghormati, sebab pengalaman itu tidak dapat dibeli. Jadi saya boleh bagi tahu yang kita masih belajar. Esok apabila kita tidak mengetahui sesuatu yang baharu, kita belajar lagi, jadi kita semua berkongsi, ini semua tentang hormat-menghormati," katanya ketika ditemui pemberita di sini.
Masih kekal dalam industri dan masih mendapat jemputan untuk nyanyian, Fauziah menafikan dirinya tidaklah sehebat artis-artis veteran lama yang masih diingati dan kekal dalam industri ini.
Antara lagu Fauziah yang sering bermain di corong radio dan dinyanyikan oleh peminat muzik seperti Teratai Layu Di Tasik Madu, Tiada Noktah Cinta, Dia dan Kau Merubah Segalanya.